KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
LATIHAN SIMULASI LAPANGAN AVIAN INFLUENZA
DI ANTARA MALAYSIA-THAILAND 2016
Avian Influenza A (AI) adalah penyakit selsema yang berlaku di kalangan unggas. Secara umumnya, jangkitan AI daripada unggas kepada manusia hanya boleh berlaku jika terdapat pendedahan kepada unggas yang telah dijangkiti dengan virus selsema burung tersebut.

Baca dengan lebih lanjut di sini
Kejadian terakhir wabak “highly pathogenic avian influenza (HPAI)” di kalangan unggas dilaporkan pada tahun 2007 dan Malaysia telah kekal bebas daripada HPAI sejak 2 September 2007. Sehingga kini, tiada kes AI di kalangan manusia dilaporkan di Malaysia.
Sebagai langkah kesiapsiaagan, Latihan Simulasi AI dijalankan setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV). Sejak 2011 sehingga 2014, latihan simulasi AI peringkat kebangsaan telah berjaya dianjurkan di Negeri Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan. Wakil dari Kementerian Kesihatan Negara ASEAN seperti Singapura, Indonesia dan Thailand telah dijemput sebagai pemerhati (observer).

30 Mac 2016: Dato’ Norhizan Ismail, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, memberi ucapan ringkas berhubung latihan simulasi dan juga ucapan selamat datang kepada semua peserta yang terlibat

30 Mac 2016: Taklimat Latihan Simulasi Avian influenza di Kedah

30 Mac 2016: Sebahagian daripada peserta di taklimat Latihan Simulasi Avian influenza di Kedah yang akan bermula pada 31 Mac-1 April 2016
Bagi tahun 2016, Latihan Simulasi AI Peringkat Kebangsaan diadakan di Kedah iaitu negeri yang bersempadan dengan province Songkhla di Thailand pada 31 Mac hingga 01 April 2016. Latihan ini diadakan secara simulasi bersama dengan negara Thailand (cross border simulation exercise) yang diketuai dan diselaraskan oleh KKM dengan kerjasama pelbagai agensi seperti JPV, Majlis Keselamatan Negara dan Imigresen. Seramai 239 peserta dari Malaysia dan 87 peserta dari Thailand terlibat di dalam latihan simulasi ini. Tujuan latihan simulasi ini diadakan adalah untuk menilai keupayaan dan tahap kesiapsiagaan setiap agensi yang terlibat selain daripada mengukuhkan lagi kolaborasi di antara dua negara dalam kesiapsiagaan dan respon terhadap kejadian yang melibatkan HPAI dan penyakit berjangkit lain yang menyeberangi sempadan (cross border).
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
31 Mac 2016
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Press