KENYATAAN AKHBAR
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
OPERASI PENGUATKUASAAN PEMBIAKAN AEDES
SECARA BESAR-BESARAN DI SELURUH NEGARA
PADA 11 APRIL 2016
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha untuk meningkatkan aktiviti pencegahan Demam Denggi akan menganjurkan operasi penguatkuasaan secara besar besaran di semua premis kediaman seluruh negara. Kawasan tumpuan adalah kawasan hotspots dan kawasan wabak. Tempoh operasi adalah selama dua bulan bermula 11 April 2016. Penguatkuasaan terhadap tapak pembinaan masih diteruskan kerana pembiakan masih tinggi iaitu dengan kadar pembiakan sebanyak 31.8%. Bagi tapak binaan yang membiak Aedes, akan dikenakan Perintah Penutupan selama 2 minggu selain tindakan didakwa di mahkamah bagi kesalahan berulang. Sekiranya ditemui tempat pembiakan di premis kediaman maka kompaun maksima RM 500 akan dikenakan dan sebarang rayuan untuk pengurangan kompaun tidak akan dilayan. Operasi penguatkuasaan ini juga akan turut disertai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain agensi yang berkaitan.
Tindakan penguatkuasaan ini diharap mendorong orang ramai menghapuskan tempat pembiakan di tempat mereka sekaligus mengelakkan berlaku peningkatan kes pada awal bulan Mei. Berdasarkan tren kejadian kes Demam Denggi di seluruh negara untuk 2 tahun ini, dijangkakan peningkatan kes Demam Denggi akan bermula awal Mei dan memuncak pada awal Julai 2016 ini. Masih terdapat kawasan yang mempunyai kadar Aedes Index yang tinggi iaitu 2.27 % iaitu 100% lebih tinggi daripada kadar yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (1%). Ini menunjukkan kawasan ini masih tidak bersih dan memerlukan aktiviti pembersihan.
Daripada Januari hingga 26 Mac 2016, jumlah kes Demam Denggi telah menunjukkan peningkatan sebanyak 7.7% dimana 35,060 kes dilaporkan bagi tahun ini berbanding dengan 32,535 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas. Namun begitu, pemantauan KKM telah mendapati sejak awal Februari tahun ini, kes mingguan yang dilaporkan berkurangan dari 3,500 kes seminggu kepada 2,135 kes pada minggu lepas (minggu ke-12). Dalam tempoh yang sama, lokaliti wabak berkurang dari 1,329 kepada 848 lokaliti wabak. Manakala lokaliti hotspots berkurang daripada 264 kepada 192 hotspots pada minggu lepas.
Pengurangan kejadian kes, wabak dan hotspots Denggi ini merupakan hasil usaha masyarakat termasuk peningkatan aktiviti pembersihan oleh pelbagai Kementerian dan agensi diseluruh negara. Masyarakat perlu mengambil tanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri sendiri dan memastikan persekitaran mereka “sifar Aedes”.
Bagi mengekalkan pengurangan kes Denggi dan aktiviti pembersihan secara berterusan semua Kementerian, agensi dan lain lain pihak perlu menetapkan sekurang kurangnya sehari dalam seminggu untuk menjalankan aktiviti pembersihan di premis dan organisasi masing masing. Tanggungjawab membanteras denggi bukan hanya pada Kementerian Kesihatan tetapi pada semua individu, masyarakat dan semua pihak. “TIADA AEDES, TIADA DENGGI”
YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
1 APRIL 2016
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Dengue, Press, WHO
.the role of Ahli Majlis in this campaign should be enhance since they are the eyes and ears of the people.
They should start bringing this massage to the people they represent
LikeLike