KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PERKEMBANGAN SEMASA PEMANTAUAN KESIHATAN
KETIKA CUACA PANAS DI MALAYSIA
28 APRIL 2016
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus menjalankan pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas (kejang haba, kelesuan haba dan strok haba) di seluruh negara. Sehingga 27 April 2016 terdapat sebanyak 200 kes berkaitan cuaca panas telah dilaporkan mendapat rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan iaitu 52 kes kejang haba (26%), 126 kes kelesuan haba (63%) dan 22 kes strok haba (11%). Jumlah ini termasuk dua (2) kematian yang dilaporkan akibat strok haba di mana kematian pertama dilaporkan sebelum ini di Segamat, Johor dan terkini satu (1) kematian dilaporkan di Jitra, Kedah.
Kematian terbaru ini berlaku pada 26 April 2016 di mana ianya melibatkan pelatih Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) yang berusia 23 tahun. Ianya berlaku semasa beliau menjalani latihan berkenaan di sebuah politeknik di Jitra, Kedah. Di samping itu, terdapat enam (6) kes kejang haba dilaporkan melibatkan pelatih-pelatih kursus yang sama dan kesemuanya dirawat sebagai pesakit luar.
Dalam satu kejadian yang lain pula pada 26 April 2016, seorang pelajar daripada sebuah institut pengajian tinggi di Pahang telah mengalami strok haba yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala lapan (8) yang lain mengalami kelesuan haba akibat melakukan aktiviti luar yang terdedah dengan cuaca panas yang melampau. Sekumpulan pelajar ini dilaporkan sedang menyertai satu pertandingan endurance peringkat kebangsaan yang menguji ketahanan fizikal mereka. Kesemua mereka mendapat rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh (1 kes strok haba dan 2 kes kelesuan haba), Hospital Jengka (5 kes kelesuan haba) dan satu (1) kes dirawat sebagai pesakit luar di klinik institut pengajian tinggi di Pahang.
KKM ingin menegaskan semula bahawa cuaca panas dan gelombang haba yang sedang melanda negara perlu diambil perhatian serius oleh setiap lapisan masyarakat termasuk pihak agensi/institusi kerajaan dan swasta serta orang awam agar tindakan yang sewajarnya diambil serta memberi penekanan terhadap nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan. Sehubungan dengan perkembangan terkini, KKM ingin menegaskan kepada agensi/institusi yang berkaitan agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
- Menangguhkan atau menghadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, memanjat gunung dan lain-lain aktiviti semasa berlakunya gelombang haba ini sehinggalah keadaan kembali reda.
- Sebolehnya elakkan daripada berada di luar rumah atau bangunan dan pastikan rumah atau bangunan mempunyai pengudaraan yang mencukupi.
- Sekiranya aktiviti luar ini tidak dapat dielakkan, dinasihatkan agar memendekkan tempoh aktiviti tersebut ataupun berehat pada tempoh yang panjang dan mengambil minuman yang banyak pada setiap kali waktu rehat tersebut.
- Minum air secukupnya dan minumlah air yang telah dimasak bagi memastikan cecair dalam tubuh adalah mencukupi.
- Pakai pakaian yang ringan, cerah dan elakkan pakaian berwarna gelap, tebal dan ketat.
- Pakailah topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas apabila berada di luar rumah atau bangunan.
- Tidak duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa.
- Ketahui tanda-tanda awal kelesuan haba, strok haba dan segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan.
Orang awam juga boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan dan maklumat mengenai penjagaan kesihatan berkaitan cuaca panas menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my (info kesihatan).
Sekian, terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
28 April 2016

Baca dengan lebih lanjut di sini
Categories: Crisis & Disaster, Environmental Health, Press