KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI VIRUS ZIKA DI MALAYSIA
14 MEI 2016
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan berkaitan maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyatakan dari Januari 2014 hingga 11 Mei 2016, terdapat sebanyak 58 buah negara yang telah melaporkan jangkitan virus Zika. Kementerian Kesihatan Malaysia juga mengambil perhatian mengenai satu jangkitan virus Zika yang telah dilaporkan di Singapura pada 13 Mei 2016. Kementerian Kesihatan Singapura telah mengesahkan kes ini adalah kes import di mana pesakit tersebut dijangkiti virus Zika selepas melawat ke Brazil dan juga disahkan bahawa pesakit ini tidak pernah melawat negara ini. Bahagian Kawalan Penyakit, KKM sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan Singapura bagi mendapatkan maklumat terkini jangkitan virus Zika untuk tindakan pencegahan bagi kedua-dua buah negara. Malaysia juga berisiko untuk mendapat kejadian kes import, sekiranya terdapat rakyat negara ini melawat negara yang telah berlaku jangkitan virus Zika, tanpa mengambil tindakan pencegahan awal. Jangkitan ini juga telah menular secara pantas di rantau Amerika.

Baca selanjutnya di sini
Sehubungan itu, KKM telah meningkatkan pemantauan di pintu-pintu masuk antarabangsa bagi pelawat asing dan rakyat Malaysia yang kembali daripada negara yang dilanda jangkitan virus Zika. Pemantauan juga dipertingkatkan terutama pintu masuk jalan darat dari negara-negara jiran. Pelawat-pelawat yang tiba dari negara-negara yang telah dijangkiti virus Zika akan diberikan Kad Amaran Kesihatan (Health Alert Card) sebagai panduan dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mengalami gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika setelah kembali dari negara tersebut. Nasihat kesihatan melalui pemasangan bunting di pintu-pintu masuk antarabangsa terutama di KLIA dan KLIA 2 juga telah dilaksanakan. Pada tahun ini sehingga Mei 2016, saringan telah dilakukan terhadap 89,640 pelawat dari negara yang melaporkan jangkitan virus Zika di pintu masuk udara, laut dan darat. Sehingga kini, belum ada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika.
Nasihat kesihatan melalui pemasangan bunting di pintu-pintu masuk antarabangsa terutama di KLIA dan KLIA 2 juga telah dilaksanakan
KKM ingin menasihatkan bagi orang awam yang melawat negara-negara yang melaporkan jangkitan Zika agar melindungi diri mereka daripada digigit oleh nyamuk. Sekiranya ada di antara mereka menghidapi gejala ataupun tanda-tanda jangkitan Zika seperti demam, sakit badan, ruam dan konjuktivitis dalam tempoh 7 hari setelah kembali dari negara yang dijangkiti virus Zika, perlulah mendapatkan rawatan segera di klinik ataupun hospital serta memaklumkan kepada doktor yang merawat mengenai lawatan mereka ke negara tersebut.
Jangkitan virus Zika juga telah dibuktikan boleh berlaku melalui hubungan seks dan sebahagian besar yang dijangkiti, tidak menunjukkan sebarang gejala. Kemungkinan terdapat individu yang telah membawa virus ini tetapi tidak menyedari telah dijangkiti virus tersebut. Oleh itu, bagi pelawat yang pulang dari negara yang melaporkan kes Zika, dinasihatkan agar mengelakkan dari melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya dua minggu dari tarikh ketibaan dari negara-negara tersebut atau menggunakan kondom sekiranya melakukan hubungan seks.
Dalam usaha mencegah penularan jangkitan Zika di negara ini, KKM secara proaktif telah mengedarkan “Zika Alert dan Arahan Pentadbiran untuk Pemantauan dan Pengurusan Jangkitan Virus Zika” kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri, persatuan, hospital dan makmal swasta pada 4 Februari 2016. Penglibatan masyarakat dalam aktiviti anti Aedes seperti gotong-royong juga dipertingkatkan terutama di kawasan sempadan serta pintu masuk seperti Johor Bharu, Kelantan dan Perak.
Di samping itu, hasil pemantauan KKM melalui survelan makmal berterusan yang dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari bulan Jun 2015 sehingga 12 Mei 2016, mendapati sebanyak 472 sampel darah daripada pesakit yang menunjukkan gejala seperti jangkitan Zika telah diuji dan setakat ini semua keputusan ujian adalah negatif untuk jangkitan virus Zika. Di samping itu, terdapat 5 kes Guillain-Barre Syndrome dan 1 kes microcephaly yang telah diuji untuk mengesan virus Zika dan keputusan juga didapati negatif.
Selain itu, KKM juga memohon supaya semua pengamal perubatan sama ada kerajaan ataupun swasta melakukan saringan dan ujian pengesanan virus ke atas pesakit yang disyaki mengidap gejala dan tanda-tanda virus Zika termasuk pelawat yang balik dari negara-negara yang dijangkiti virus ini.
Virus Zika adalah dibawa oleh vektor yang sama seperti demam denggi iaitu nyamuk Aedes. Sehubungan itu, orang ramai perlu melaksanakan langkah-langkah pencegahan terutama memastikan persekitaran yang bersih dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu. Amalan perlindungan diri daripada gigitan nyamuk seperti memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang serta menggunakan repelan adalah amat penting bagi mencegah jangkitan virus Zika ini.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
14 Mei 2016
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Dengue, Press, Zika
2 replies »