KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
KANABIS DI DALAM PRODUK KOSMETIK
Kanabis adalah dikategorikan sebagai dadah berbahaya dan bahan larangan di dalam kosmetik. Di bawah Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia, kanabis disenaraikan di bawah Annex II Part 1 – (List of substances which must not form part of the composition of cosmetic products). Oleh yang demikian kosmetik mengandungi kanabis tidak akan dinotifikasikan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) untuk pasaran dalam negara.
Berikutan kenyataan seorang senator di Dewan Negara berkenaan “Barang kecantikan dan kosmetik mengandungi dadah jenis kanabis dijual di Airport dan Online”, Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis menjual kosmetik di Terminal KLIA dan KLIA2. Sejumlah (22) buah premis menjual kosmetik telah diperiksa. Walau bagaimanapun tiada kosmetik mengandungi kanabis dijumpai dipamer atau disimpan untuk jualan.

Baca selanjutnya di sini
Pemantauan juga dibuat oleh Seksyen Farmaseutikal Siber, BPF, KKM ke atas laman sesawang dan media sosial untuk mengesan mereka yang menjalankan perniagaan barang kecantikan dan kosmetik tidak bernotifikasi dan ubat-ubat tidak berdaftar secara atas talian (online). Pada tahun 2015, beberapa laman sesawang dan Facebook yang menjual kosmetik mengandungi kanabis telah dikesan dan dilaporkan kepada Bahagian Narkotik, Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Sehingga kini tiada laporan mengenai rampasan kanabis di dalam kosmetik oleh pihak PDRM yang diterima oleh BPF.
Produk penjagaan dan perapian diri atau kosmetik dikawal pengimportan, pengilangan, penjualan, pembekalan dan pemilikannya di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Peraturan 18A(5), Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 telah menetapkan mana-mana orang yang bertanggungjawab meletakkan kosmetik bernotifikasi di pasaran perlu memohon nota notifikasi daripada Pengarah Perkhidmatan Farmasi.
Nota notifikasi bukan bukti yang menunjukkan produk kosmetik tersebut telah mendapat kelulusan KKM kerana kawalan kosmetik di Malaysia adalah bersifat kawalan kendiri (self regulation). Pemegang nota notifikasi adalah bertanggungjawab untuk memastikan produk kosmetik bernotifikasi adalah selamat, berkualiti dan tuntutan yang digunakan ke atas produk adalah memenuhi skop takrifan kosmetik serta dapat disokong dengan data yang mencukupi.
Permohonan notifikasi kosmetik hanya boleh dibuat secara atas talian (online) melalui sistem Quest yang boleh dilayari di laman sesawang BPFK iaitu www.bpfk.gov.my. Sistem Quest dilengkapi dengan sistem yang mampu untuk menyaring formulasi kosmetik yang dinotifikasi oleh pihak syarikat kepada BPFK. Ini untuk memastikan kosmetik yang dinotifikasi adalah selamat dan berkualiti serta bebas daripada bahan terlarang atau bahan yang melebihi had yang dibenarkan
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM juga menerima permohonan syarikat untuk mengimport kosmetik yang tidak bernotifikasi untuk tujuan dijual di kawasan bebas cukai seperti di lapangan terbang atau pelabuhan. Senarai produk yang dimohon akan diteliti terlebih dahulu. Jika diluluskan, pihak syarikat dikehendaki mematuhi garispanduan dan peruntukan undang-undang sedia ada dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada produk yang dijual di premis syarikat.
BPFK akan menjalankan pemantauan ke atas kosmetik bernotifikasi di pasaran untuk memastikan pemegang notifikasi mematuhi garispanduan dan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.
Sehingga kini BPFK tidak menerima sebarang laporan kesan adverse kosmetik mengandungi kanabis. Untuk menentukan kesan penggunaan kanabis dalam kosmetik seharusnya ia memerlukan kajian terperinci tentang kesan penggunaannya dalam kosmetik terhadap tubuh badan manusia.
Pembekal dan pengguna diingatkan supaya tidak mengimport, memiliki dan mengguna produk kosmetik mengandungi kanabis kerana ia dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati dengan produk kosmetik yang menyatakan pelbagai tuntutan yang sukar dipercayai atau tidak realistik seperti pada label produk atau iklan, terutama yang memberikan hasil dan kesan yang sangat cepat. Pengguna boleh menyemak status notifilkasi produk kosmetik dari laman sesawang BPFK.
Pengguna adalah dinasihatkan membeli produk kosmetik daripada peruncit yang sah, boleh dipercayai dan berwibawa. Pengguna digalakkan untuk melaporkan kepada BPFK jika mereka mendapati mana-mana produk kosmetik yang mencurigakan di pasaran atau mengalami reaksi alergi atau kesan buruk daripada penggunaan produk kosmetik melalui e-mel kepada kosmetik@bpfk.gov.my atau hubungi 03-78838496 / 5532.
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM akan terus meningkatkan kawalan terhadap laman web dan media sosial serta menjalankan pemeriksaan secara berterusan terhadap premis menjual barangan kosmetik, spa dan salon kecantikan untuk memastikan mereka yang terlibat mengguna, membekal dan menjual produk kosmetik bernotifikasi dengan mengikut garispanduan dan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
14 Mei 2016
Categories: Patient Safety, Pharmacy, Press