Kenyataan Akhbar KPK 19 Mei 2016: Situasi Terkini Demam Denggi & Zika di Malaysia bagi Minggu 19/2016

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI TERKINI

DEMAM DENGGI DAN ZIKA DI MALAYSIA

Bagi Minggu 19/2016 (8 hingga 14 Mei 2016)

Analisa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan tren penurunan kes Demam Denggi sejak awal bulan Februari dan berterusan sehingga kini. Pada minggu ke-19 (iaitu dari 8 hingga 14 Mei 2016) kes Demam Denggi telah berkurangan sebanyak 0.3% di seluruh negara iaitu 1,325 kes berbanding 1,329 kes pada minggu sebelumnya. Walaupun terdapat penurunan kes secara keseluruhannya, namun terdapat tujuh (7) buah negeri yang menunjukkan peningkatan kes iaitu Johor (25.2%), Sabah (50.0%), Perak (28.1%), Kedah (88.9%), Sarawak (12.7%), Kelantan (14.3%) dan Negeri Sembilan (4.5%). Secara kumulatif dari Januari hingga 14 Mei 2016, jumlah kes Demam Denggi adalah 46,856 kes, berbanding 43,126 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, iaitu peningkatan sebanyak 8.6% (3,730 kes).

Di samping itu, terdapat empat (4) kematian yang dilaporkan pada minggu ke-19 berbanding tujuh (7) kematian yang dilaporkan pada minggu sebelumnya iaitu melibatkan tiga (3) kematian di negeri Selangor dan satu (1) kematian di Pahang. Jumlah kumulatif kematian Denggi dari Januari sehingga 14 Mei 2016, adalah sebanyak 109 kematian berbanding 136 kematian bagi tempoh sama tahun 2015, dengan peratusan pengurangan sebanyak 19.9% (27 kematian).

Screen Shot 2016-05-19 at 15.41.30

Selain daripada pengurangan kes Denggi, didapati lokaliti wabak dan hotspot juga menunjukkan pengurangan pada minggu ke-19 berbanding minggu sebelumnya. Peratusan lokaliti wabak berkurangan sebanyak 10.8% iaitu daripada 526 lokaliti pada minggu ke-18 kepada 469 lokaliti pada minggu ke-19. Manakala jumlah lokaliti hotspot didapati turut berkurangan daripada 92 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 75 lokaliti pada minggu ke-19. Kejadian lokaliti hotspot melibatkan tiga (3) buah negeri iaitu di Selangor (63 lokaliti), Johor (11 lokaliti) dan Negeri Sembilan (1 lokaliti).

Operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes secara besar- besaran di seluruh negara masih diteruskan untuk membendung peningkatan kes Demam Denggi yang kebiasaannya berlaku pada pertengahan tahun. Sejak mula dilaksanakan pada 11 April 2016 sehingga 16 Mei 2016, sebanyak 135,870 premis telah diperiksa di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 647 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun RM 323,500. KKM juga telah melakukan penutupan ke atas enam (6) tapak binaan daripada 140 tapak binaan iaitu empat (4) di Selangor dan dua (2) di Wilayah Persekutuan K.Lumpur & Putrajaya. Di samping itu, sembilan (9) kes telah dibawa ke mahkamah iaitu di Selangor (5 kes), Terengganu (2 kes) dan satu (1 kes) masing-masing di Wilayah Persekutuan K.Lumpur & Putrajaya serta Negeri Sembilan.

Baru-baru ini, negara jiran kita iaitu Singapura telah melaporkan satu kes import jangkitan virus Zika. Oleh kerana virus Zika ini adalah disebarkan oleh nyamuk Aedes yang merupakan vektor yang sama membawa virus Denggi, maka pihak masyarakat adalah diingatkan agar sentiasa membersihkan kawasan persekitaran rumah dan meluangkan masa setiap minggu untuk melaksanakan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Pihak masyarakat juga diingatkan untuk mencegah gigitan nyamuk Aedes dengan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang serta menggunakan repelan. Semburan aerosol juga boleh dilakukan di dalam rumah pada waktu nyamuk aktif menggigit iaitu dari jam 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang.

Secara global, situasi terkini jangkitan virus Zika oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu dari 1 Januari 2007 sehingga 11 Mei 2016, menunjukkan sebanyak 58 buah negara telah melaporkan penularan jangkitan virus Zika. Saringan pelawat di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) masih diteruskan dan setakat ini tiada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika tersebut. Selain itu, sebanyak 472 sampel telah diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan didapati tiada sampel yang positif untuk jangkitan virus Zika.

Untuk mencegah komplikasi akibat jangkitan Denggi dan Zika ini, maka KKM juga ingin mengingatkan pihak masyarakat untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital dengan kadar segera sekiranya menghidap gejala dan tanda-tanda jangkitan penyakit berkenaan.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

19 Mei 2016

Screen Shot 2016-05-19 at 15.41.38Screen Shot 2016-05-19 at 15.41.51Screen Shot 2016-05-19 at 15.42.01Screen Shot 2016-05-19 at 15.42.11

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s