KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI
DEMAM DENGGI DAN PENCAPAIAN OPERASI PENGUATKUASAAN PEMBIAKAN AEDES DI MALAYSIA
Bagi Minggu 20/2016 (15 hingga 21 Mei 2016)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Pembiakan Aedes secara besar-besaran di seluruh negara yang bermula pada 11 April 2016 bertujuan untuk membendung peningkatan kes Demam Denggi. Sejak mula dilaksanakan sehingga 22 Mei 2016, sebanyak 159,600 premis telah diperiksa di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 786 kompaun telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM393,000. KKM juga telah melakukan penutupan ke atas tujuh (7) tapak binaan daripada 150 tapak binaan yang diperiksa iaitu empat (4) di Selangor, dua (2) di Wilayah Persekutuan K.Lumpur & Putrajaya dan satu (1) di Sarawak. Di samping itu, sepuluh (10) kes yang melibatkan tapak binaan telah dibawa ke mahkamah iaitu di Selangor lima (5) kes, Terengganu tiga (3) kes dan satu (1) kes masing-masing di Wilayah Persekutuan K.Lumpur & Putrajaya serta Negeri Sembilan. Operasi ini akan dilaksanakan selama dua bulan dan dijangka tamat pada 10 Jun 2016.
Hasil pemantauan KKM di seluruh negara pada minggu ke-20 mendapati tren kes Demam Denggi menunjukkan penurunan kes dari awal bulan Februari sehingga pertengahan bulan Mei 2016. Pada minggu lalu iaitu pada minggu ke-20 (dari 15 hingga 21 Mei 2016) sejumlah 1,244 kes Demam Denggi telah dilaporkan berbanding 1,325 kes pada minggu ke-19 iaitu pengurangan sebanyak 6.1%. Namun begitu, terdapat lima (5) buah negeri yang menunjukkan peningkatan kes iaitu WP Kuala Lumpur & Putrajaya (13.4%), Pulau Pinang (41.2%), Sabah (22.2%), Perak (14.6%) dan Perlis (100%). Secara kumulatif dari Januari hingga 21 Mei 2016, jumlah kes Demam Denggi yang dilaporkan adalah sejumlah 48,100 kes berbanding 45,070 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, iaitu peningkatan sebanyak 6.7% (3,030 kes).
Pada minggu ke-20, tiada kematian kes Denggi yang dilaporkan. Jumlah kumulatif kematian Denggi dari Januari sehingga 21 Mei 2016 adalah sebanyak 109 kematian berbanding 136 kematian bagi tempoh sama tahun 2015, iaitu pengurangan sebanyak 19.9% (27 kematian).
Selain daripada pengurangan kes mingguan Demam Denggi, didapati jumlah bilangan lokaliti wabak dan hotspot juga menunjukkan pengurangan berbanding minggu sebelumnya. Peratusan lokaliti wabak berkurangan sebanyak 12.0% (51 lokaliti) iaitu daripada 469 lokaliti pada minggu ke-19 kepada 418 lokaliti pada minggu ke-20. Manakala jumlah lokaliti hotspot didapati turut berkurangan daripada 75 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 73 lokaliti pada minggu ke-20. Kejadian lokaliti hotspot melibatkan empat (4) buah negeri iaitu di Selangor (61 lokaliti), Johor (10 lokaliti) dan 1 lokaliti masing-masing di WP Kuala Lumpur & Putrajaya serta Sarawak.
Memandangkan pada masa ini adalah musim hujan yang diselang-seli dengan keadaan cuaca panas, ini akan meningkatkan lagi risiko penularan Demam Denggi disebabkan oleh pengumpulan air pada bekas-bekas yang sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, pihak masyarakat hendaklah memastikan kediaman masing-masing bebas daripada tempat pembiakan Aedes dengan meluangkan hanya 10 minit setiap minggu, untuk aktiviti cari dan musnah. Selain itu, bahan pembunuh jentik-jentik hendaklah digunakan terutama bagi bekas-bekas yang menakung air. KKM turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital sekiranya mempunyai gejala dan tanda-tanda Demam Denggi untuk mencegah komplikasi akibat penyakit tersebut.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
27 Mei 2016
Categories: Communicable disease, Dengue, Press, WHO