Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 16 Jun 2016: Situasi Semasa Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

hfmd-photo

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai situasi semasa penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia. Penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun, serta mempunyai tren ’cyclical’ dengan kemuncak setiap tiga (3) tahun. Penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis virus dan kebanyakannya adalah ringan ke sederhana sahaja.  Walau bagaimanapun jangkitan dengan enterovirus 71 (EV71) boleh menjadi teruk dan seterusnya boleh membawa kematian.  Oleh itu pihak KKM sentiasa membuat pemantauan bukan sahaja terhadap kejadian kes tetapi juga jenis virus yang berada di dalam komuniti.

Pada Minggu Epid (ME) 23/2016 (5 Jun 2016 – 11 Jun 2016) bilangan kes HFMD yang dilaporkan di seluruh negara ialah 1,379 kes iaitu peningkatan 83 kes (6.4%) berbanding minggu sebelumnya (1,296 kes). Trend peningkatan kes HFMD telah mula dikesan sejak ME 17/2016 (24 – 30 April 2016) iaitu 794 kes setelah melepasi paras amaran atau ’Alert Level’ (paras yang ditetapkan berdasarkan jumlah kes HFMD pada tahun lepas di Malaysia) iaitu 644 kes seminggu. Sehubungan dengan itu, pihak KKM telahpun mengeluarkan surat Amaran Peningkatan Kes HFMD di Malaysia pada 9 Mei 2016 kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) supaya mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi mencegah dan mengawal penularannya.

Negeri Selangor menyumbangkan jumlah kes tertinggi sehingga kini berbanding negeri lain iaitu 4,441 kes (32.6%), diikuti oleh Johor 1,393 kes (10.2%), WPKL 1,317 kes (9.7%), Sabah 1,299 kes (9.5%), Sarawak 1,108 kes (8.1%), Perak 892 kes (6.5%), Melaka 727 kes (5.3%), Pulau Pinang 713 kes (5.2%), Negeri Sembilan 522 kes (3.8%), Pahang 345 kes (2.5%) dan Kedah 265 kes (1.9%) sementara negeri-negeri lain kurang dari 200 kes. Tiga daerah di Selangor yang tinggi bilangan kes adalah Daerah Petaling (1,626), Hulu Langat (1172) dan Klang (618).

Wabak HFMD ditakrifkan sebagai apabila terdapat dua (2) atau lebih kes HFMD di mana gejalanya timbul dalam tempoh dua (2) minggu di dalam lokaliti yang sama. Sehingga ME 23/2016, Negeri Selangor mencatatkan bilangan kejadian wabak tertinggi dengan 135 wabak (26.7%) berbanding negeri lain, diikuti Sarawak 116 wabak (22.9%), WPKL 58 wabak (11.5%), Johor 49 wabak (9.7%), Melaka 39 wabak (7.7%), Perak 26 wabak (5.1%) dan Negeri Sembilan 20 wabak (4%) sementara negeri-negeri lain kurang dari 20 kejadian wabak.

Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh (7) ke sepuluh (10) hari. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku.

Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% di kalangan kanak-kanak kurang dari sepuluh (10) tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska/tadika. Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
  2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
  3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.
  4. Membersihkan (basmikuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.
  5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
  6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.

Pihak pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengambil langkah-langkah yang sama seperti di atas.  Di samping itu, saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) dilakukan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

Oleh itu, langkah-langkah pencegahan seperti di atas adalah amat penting bagi mengelakkan peningkatan kes pada tahun 2016. KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan. Untuk makluman, penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengamal Perubatan dan orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska / tadika / sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.

Sekian, terima kasih.

Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

16 Jun 2016

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as:

1 reply »

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s