Kenyataan Akhbar KPK 17 Jun 2016: KKM Kuat Kuasa Undang-undang Farmasi Secara Berterusan

9686ea0d-5a69-4776-a1b9-3c7979722402

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius laporan akhbar KOSMO berkaitan isu penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar dan beracun di pasaran. KKM ingin menegaskan bahawa Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar dan beracun di pasaran, di mana penguatkuasaan undang-undang farmasi bukanlah dibuat secara “ala koboi” seperti yang didakwa. KKM sentiasa memastikan tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah bersifat holistik, adil dan saksama kepada pengilang, pengedar, pengiklan dan penjual termasuk komuniti farmasi demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pengguna.

Tindakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap peniaga-peniaga yang menjual produk kesihatan tidak berdaftar dan dicemari racun berjadual adalah dilaksanakan secara berterusan dan bukannya mengikut musim. Tugas penguatkuasaan ini dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri di mana anggota penguatkuasa farmasi akan menjalankan pemeriksaan secara berkala ke atas premis farmasi, klinik perubatan swasta dan premis tidak berlesen seperti toko jamu dan premis lain yang menjual ubat atau produk kesihatan.

Mana-mana pihak adalah tidak dibenarkan untuk mengimport, mengilang, menjual dan memiliki produk yang tidak berdaftar. Jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Tujuan Akta ini dikuatkuasakan adalah untuk melindungi pengguna dan masyarakat daripada bahaya produk kesihatan tidak berdaftar dan beracun di pasaran.

Sejak 2014 sehingga Mei 2016 sebanyak 43,195 premis menjual ubat dan produk kesihatan (Farmasi, Premis Tidak Berlesen, Klinik Perubatan Swasta) telah diperiksa. Dalam tempoh yang sama juga sebanyak 3,370 serbuan telah dijalankan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 77,107,358.00. Di samping itu, aktiviti-aktiviti perlindungan pengguna seperti ceramah, pameran dan dialog juga diadakan bagi memperkasakan pengetahuan pengguna tentang ubat dan produk kesihatan di Malaysia.

Susulan laporan oleh Akhbar KOSMO, Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM akan meneruskan lagi pemantauan secara berterusan di premis tidak berlesen seperti toko-toko jamu dan kedai kecantikan. Bahagian ini juga mengalu-alukan sebarang aduan daripada orang ramai sekiranya terdapat individu atau premis yang menjual ubat tidak berdaftar di pasaran atau secara online. Orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-78413200 atau laman web moh.spab.gov.my untuk sebarang aduan.

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran produk kesihatan di laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi, www.pharmacy.gov.my atau Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, www.bpfk.gov.my. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Facebook rasmi penguatkuasaan farmasi iaitu Pilih Ubat Berdaftar.

Sekian, terima kasih.

Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 Jun 2016

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s