Kenyataan Akhbar KPK 22 Jun 2016: Kejadian Kes Difteria di Melaka dan Kedah

diphtheria

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan berkenaan kejadian kes disahkan difteria di kalangan tiga (3) beradik di Melaka dan lapan (8) kes disyaki difteria di Kedah. Sebanyak satu (1) kes yang disahkan difteria di Melaka telah dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun 2016. Manakala satu (1) kes disyaki difteria di Kedah yang berumur dua (2) tahun meninggal dunia pada 22 Jun 2016 pagi. Kedua-dua kes kematian tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan.

Pesakit yang meninggal dunia di Hospital Melaka telah dirujuk oleh Klinik Kesihatan Ujong Pasir pada 16 Jun 2016 dengan sejarah demam selama lapan (8) hari dan batuk, sakit tekak, sukar menelan, kurang selera makan serta leher bengkak selama 3 hari.  Ujian sampel swab tekak disahkan positif difteria pada 20 Jun 2016 oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kuala Lumpur. Sementara pesakit kanak-kanak warga asing yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar belum diketahui keputusan ujian.

Manakala dua (2) kes yang disahkan difteria di Melaka dan tujuh (7) kes disyaki difteria di Kedah sedang dirawat di hospital yang mana satu (1) kes disyaki di Kedah tersebut sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit – ICU), satu (1) kes dirawat di Paediatric High Dependency Ward manakala lima (5) kes yang lain dirawat di wad isolasi kanak-kanak. Dari jumlah tersebut, hanya tiga (3) kes disyaki difteria di negeri Kedah yang telah menerima imunisasi difteria yang lengkap. Selebihnya termasuklah ketiga-tiga kes yang disahkan difteria di Melaka, tidak menerima atau telah menerima imunisasi yang tidak lengkap.corynebacterium

Tindakan kawalan masih terus dijalankan ke rumah pesakit, tadika, sekolah dan kawasan kejiranan bagi mengesan kontak rapat bagi kedua-dua negeri terlibat. Kesemua kontak rapat (35 kontak di Melaka dan lapan di Kedah) telah dikenalpasti dan mereka yang bersimptom telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan. Sampel klinikal daripada ke semua kontak rapat telah diambil untuk ujian di mana sampel bagi sembilan (9) kontak di Melaka  telah disahkan negatif, manakala yang lain masih menunggu keputusan. Kesemua ahli keluarga dan kontak rapat telah diberikan rawatan profilaksis antibiotik. Status kesihatan mereka sedang dipantau rapi oleh petugas kesihatan. Tiada rakan sekolah dan rakan sepermainan dari kawasan yang mengalami gejala serupa. Pendidikan kesihatan berkaitan difteria dan cara kawalan serta pencegahan turut diberikan. Kanak-kanak yang cicir imunisasi telah diberikan suntikan.

membrana-gris-difteria

Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae. Ia tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50%.

Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima (5) serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b). Ia diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan.  Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity) dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi.

Pentaxim6001PPS0

Justeru, KKM ingin memberi penekanan betapa pentingnya kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan. Ibubapa yang masih lagi belum membawa anak-anak mereka mengambil imunisasi hendaklah segera membawa mereka untuk mendapatkan imunisasi vaksin lima (5) serangkai yang lengkap. Ia merupakan tanggungjawab ibubapa untuk memberikan perlindungan dan menyelamatkan anak-anak daripada mendapat jangkitan dan seterusnya komplikasi jangkitan dan kematian, seperti apa yang sedang berlaku sekarang.

Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

22 Jun 2016

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s