Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 27 Jun 2016 di muka surat 4, bertajuk “KAMI TAKUT VAKSIN” yang memaparkan berita seorang kanak-kanak yang didakwa “Tak boleh bergerak selepas terima vaksin”. Keratan Akhbar berkenaan seterusnya melaporkan bahawa keadaan kes menjadi tidak normal selepas mendapat suntikan vaksin tiga serangkai dos ketiga.
KKM dengan ini menegaskan bahawa dakwaan berkenaan adalah TIDAK BENAR. Kes yang kini berusia empat (4) tahun sebenarnya telah dikesan mengalami kelainan otak semenjak dari dalam kandungan lagi. Semasa kandungan berumur 34 minggu, ibunya telah dirujuk ke hospital oleh Klinik Kesihatan Bukit Selambau Baling kerana kandungannya didapati kecil berbanding tempoh kehamilan. Pemeriksaan oleh Pakar Perbidanan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar mendapati kandungan mengalami “Severe Ventriculomegaly”.
Pemeriksaan lanjut turut mengesahkan ibunya mengidap jangkitan semasa mengandungkannya yang disyaki menjadi punca kepada masalah kelainan otak ini. “Severe Ventriculomegaly” adalah satu keadaan tidak normal yang berlaku pada otak. Keadaan ini menyebabkan cecair otak memenuhi sebahagian besar daripada otak mengakibatkan tisu otak mengecil. Ia seterusnya menyebabkan perkembangan fizikal, perkembangan saraf dan pergerakan otot terganggu yang mengakibatkan kegagalan atau kelemahan aspek kognitif (daya fikir, pembelajaran, intelektual).
Oleh itu, dakwaan bahawa masalah perubatan kes tersebut disebabkan suntikan vaksin adalah TIDAK BENAR. KKM tidak menafikan bahawa vaksin boleh menyebabkan berlakunya kesan sampingan atau AEFI (Adverse Events Following Immunisation) seperti kesakitan dan kemerahan di tempat suntikan dan demam. Namun kebanyakan daripada kesan sampingan ini adalah ringan dan kes sembuh dengan sendiri. KKM sentiasa memantau keselamatan penggunaan dan penggambilan segala jenis ubat-ubatan termasuk vaksin. Untuk pengetahuan orang ramai, sebelum vaksin boleh digunakan dan dipasarkan, ia perlu diuji dengan rapi pada ribuan orang menerusi kajian klinikal berskala besar. Ianya dipantau dengan ketat bagi menjamin keselamatan penerimanya. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM akan meluluskan penggunaan sesuatu vaksin setelah ia disahkan selamat, berkesan dan berkualiti.
Orang ramai tidak perlu bimbang untuk membenarkan anak-anak mereka menerima suntikan vaksin. Imunisasi dapat mencegah kejadian penyakit cegahan vaksin serta mengelakkan komplikasi yang serius, dan juga menghalang berlakunya wabak. Saya menyeru rakan-rakan media agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan laporan dengan memastikan kesahihan setiap fakta. KKM kesal dengan pelaporan berita yang tidak tepat seperti ini kerana ia boleh menyebabkan salah tanggapan orang awam yang mendorong mereka kepada penolakan vaksin.
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
28 Jun 2016
Categories: Communicable disease, Press, vaccine