Sehingga 2 Julai 2016, pertambahan satu (1) kes difteria telah dilaporkan menjadikan 14 kes disahkan difteria dengan lima (5) kematian. Kes terbaru ini merupakan seorang kanak-kanak lelaki berumur 6 tahun mula mengalami demam pada 26 Jun 2016. Tiga (3) hari kemudian pesakit mengalami sawan dan dirujuk ke sebuah hospital di Kedah. Pesakit disyaki difteria dan dimasukkan ke wad. Namun keadaan pesakit bertambah teruk di mana pada 1 Julai 2016 pesakit tersebut memerlukan bantuan peralatan pernafasan. Pesakit kemudiannya dirujuk ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Pada 1 Julai 2016, ujian makmal mengesahkan bahawa kes adalah positif difteria. Status imunisasi kanak-kanak ini tidak dapat disahkan kerana tiada rekod menunjukkan pengambilan imunisasi.
Dengan pertambahan kes baru ini, menjadikan jumlah kes disahkan difteria sebanyak 14 kes. Pecahan kes mengikut negeri adalah Melaka tiga (3) kes dengan satu (1) kematian, Kedah tujuh (7) kes dengan satu (1) kematian dan Sabah empat (4) kes dengan tiga (3) kematian. Kes terbaru adalah kes sporadik (terpencil) dan tiada hubungkait dengan enam (6) kes terdahulu. Rawatan profilaksis telah diberikan kepada semua kontak kes baru ini dan lain-lain langkah pencegahan serta kawalan telah dijalankan.
Negeri Johor melaporkan satu (1) kes disyaki difteria. Kes berumur lima (5) tahun dan mempunyai sejarah demam dan sakit tekak. Pesakit tidak mendapat imunisasi 5-serangkai yang lengkap. Keputusan ujian makmal belum diperolehi. Rawatan dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan untuk jangkitan difteria telah diambil. Keadaan kes adalah dilaporkan stabil.
Ibu-bapa dinasihatkan agar menyemak semula status imunisasi anak-anak masing-masing. Saya menyeru ibubapa dengan anak-anak di bawah umur tujuh (7) tahun agar memastikan anak-anak mereka telah mendapat imunisasi 5-serangkai yang lengkap supaya perlindungan optima dapat diberikan. Semoga langkah pro-aktif semua pihak akan dapat meningkatkan imuniti kelompok dan membendung kejadian difteria dari terus menjadi masalah kesihatan awam.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
3 Julai 2016
Categories: Communicable disease, Press, vaccine