Dari 18 sehingga 21 Julai 2016, sembilan (9) kes baru disahkan difteria telah dilaporkan, iaitu enam (6) kes dari Negeri Sembilan, dua (2) dari Pulau Pinang dan satu (1) kes dari Kedah. Ini menjadikan kumulatif kes difteria kepada 24 kes termasuk lima (5) kematian. Pecahan kes mengikut negeri adalah Kedah lapan (8) kes dengan satu (1) kematian, Negeri Sembilan tujuh (7) kes dan tiada kematian, Sabah empat (4) kes dengan tiga (3) kematian, Melaka tiga (3) kes dengan satu (1) kematian dan Pulau Pinang dua (2) kes dan tiada kematian.
Sembilan (9) kes baru ini berumur dalam lingkungan 8 hingga 50 tahun. Enam (6) daripadanya memberi sejarah telah mendapat imunisasi difteria lengkap. Empat (4) dari enam (6) kes baru dari Negeri Sembilan adalah anak-anak kepada kes wanita dari Rembau dan dua (2) kes lagi merupakan kakitangan Klinik Kesihatan Rembau yang menjadi kontak kepada kes pertama ini. Manakala kes dari Kedah dan Pulau Pinang merupakan kes terpencil (sporadik) dan tiada kaitan dengan kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini. Kesemua kes dilaporkan dalam keadaan stabil, telah diisolasikan dan diberikan rawatan antibiotik.
Manakala kes yang disyaki difteria yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia yang dilaporkan dalam Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 17 Julai 2016 adalah negatif bagi ujian makmal difteria.
Seperti yang pernah dijelaskan sebelum ini, orang dewasa dan kanak-kanak yang pernah mendapat vaksinasi lengkap masih boleh dijangkiti dengan bakteria. Namun begitu gejala yang dialami mereka adalah ringan dan risiko komplikasi akibat toksin yang dihasilkan oleh bakteria berkenaan adalah rendah. Semua kes yang membawa maut dan menunjukkan gejala serius adalah dari kalangan mereka yang tidak mendapat pelalian atau pelalian yang tidak lengkap, khususnya di kalangan kanak-kanak. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru agar ibubapa segera membawa anak-anak yang belum menerima pelalian atau belum lengkap, ke mana-mana klinik yang berhampiran bagi memastikan anak-anak mereka dilindungi dari jangkitan ini.
Saya menyeru semua kakitangan kesihatan dan perubatan yang merawat pesakit agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk memakai alat perlindungan diri khususnya topeng mulut dan hidung (mask) dan mengamalkan amalan membasuh tangan selepas merawat pesakit. Manakala orang ramai yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan disarankan agar memakai topeng mulut dan hidung (mask) bagi mengelakkan penyebaran bakteria dan virus melalui sekresi respiratori. Hendaklah sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk etika batuk/bersin yang betul, elakkan keluar ke tempat awam (terutama tempat-tempat sesak) seperti pusat jagaan kanak-kanak, tadika dan lain-lain serta mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mengalami gejala tersebut. Ibubapa dengan anak-anak di bawah umur 7 tahun pula diseru untuk mendapatkan imunisasi 5-serangkai yang lengkap bagi mengelakkan jangkitan difteria dan komplikasinya.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
22 Julai 2016
Categories: Communicable disease, Press, vaccine