Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa, pada tengahari 24 Julai 2016, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah melaporkan satu (1) kematian, kanak-kanak lelaki berusia 11 bulan yang pernah dirawat sebagai kes difteria pada 21 Jun 2016. Beliau telah menerima rawatan antitoksin dan antibiotik yang lengkap. Keputusan dua (2) swab tekak dua (2) minggu selepas selesai rawatan antibiotik adalah negatif terhadap bakteria Corynebacterium diphtheriae. Rawatan ke atas kanak-kanak tersebut diteruskan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga dia didiscaj pada 20 Julai 2016 dengan bekalan antibiotik untuk tempoh satu (1) minggu.
Pada 24 Julai 2016, awal pagi ibu kanak-kanak itu mendapati anaknya tidak bertindakbalas dan kebiruan (cyanosed). Beliau terus dibawa ke jabatan kecemasan Hospital Kerajaan pada pagi tersebut dan telah diberi rawatan kecemasan. Walau bagaimanapun pesakit gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia. Post-mortem telah dijalankan dan penyebab kematian ini akan dimaklumkan setelah menerima laporan rasmi.
Pihak KKM telah mengadakan lawatan ke rumah keluarga ini dan bekerjasama dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memberikan khidmat kaunseling dan sokongan yang sewajarnya. Perkhidmatan kaunseling akan diteruskan bagi memberi sokongan kepada keluarga ini di saat kesukaran yang sedang dihadapi.
Sehingga hari ini, bilangan kes disahkan difteria di Malaysia masih kekal 24 kes termasuk 5 kematian. Sebarang perkembangan berkaitan status kes difteria di Malaysia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
24 Julai 2016
Categories: Communicable disease, Press, vaccine