Pada minggu ke-28 tahun 2016, iaitu seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dari 10 Julai hingga 16 Julai 2016, sejumlah 2,240 kes telah dilaporkan di seluruh negara, meningkat 728 kes (48.1%) berbanding dengan minggu ke-27 (1,512 kes). Peningkatan kes ini memang telah dijangkakan kerana ia menyerupai tren kes denggi pada tahun sebelum ini. Selain keadaan cuaca, pergerakan masyarakat semasa cuti hari raya pada minggu sebelumnya yang mempengaruhi penyebaran dan peningkatan kes denggi. Daripada Januari sehingga 16 Julai 2016, jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan adalah 61,534 kes, berbanding 65,395 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, iaitu penurunan sebanyak 5.9% (3,861 kes).
Manakala untuk kematian denggi pula, bagi tempoh yang sama sebanyak 1 kematian dilaporkan pada minggu ke-28. Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga minggu ke-28 adalah sebanyak 135 kematian, berbanding 175 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2015, menunjukkan pengurangan sebanyak 40 kematian (22.8%).
Pada minggu ke-28 juga, terdapat 666 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 14 negeri iaitu Selangor (445), WPKL & Putrajaya (66), Johor (57), Sarawak (17), Kelantan (17), Sabah (16), Perak (16), Negeri Sembilan (11), Melaka (8), Pahang (4), Pulau Pinang (3), dan masing masing 2 lokaliti di Kedah, Perlis dan Terengganu. Tiada kejadian wabak dilaporkan di WP Labuan.
Bagi mengatasi peningkatan kes yang berlaku ketika ini, Kementerian Kesihatan menggesa semua pihak, khususnya di negeri Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil tindakan segera seperti berikut:-
- Individu dan pemilik premis membersihkan dalam dan luar rumah mereka setiap minggu serta bebas dari pembiakan nyamuk Aedes.
- Ketua dan pemimpin masyarakat setempat mengambil tanggungjawab mengadakan gotong-royong membersihkan persekitaran kawasan perumahan masing-masing, khususnya di kawasan wabak dan hotspot.
- Guru besar, pengetua dan majikan mengambil tanggungjawab memastikan persekitaran sekolah, kolej dan tempat kerja bersih dan bebas dari pembiakan Aedes.
- Pemaju tapak binaan dan kontraktor hendaklah memastikan tapak pembinaan mereka juga bebas daripada air yang bertakung yang menjadi tempat pembiakan Aedes.
- Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat konsesi pelupusan sampah hendaklah memastikan urusan pelupusan sampah berjalan lancar bagi mengelakkan longgokan sampah yang boleh menjadi tempat pembiakan Aedes.
- Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah memastikan longkang, saliran, taman-taman permainan serta tempat riadah diselenggara dengan baik bagi mengelak daripada air bertakung. Tempat pembuangan sampah haram juga hendaklah dibersihkan dan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melakukannya.
Semua pihak perlu memberikan kerjasama bagi menangani masalah pembiakan Aedes dan penyakit demam denggi. Tanpa kerjasama individu, masyarakat, pemimpin setempat dan majikan bagi memastikan persekitaran bebas daripada nyamuk Aedes, masalah demam denggi tidak akan berjaya dikawal.
Berdasarkan situasi terkini penyakit Zika yang telah dikemas kini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 13 Julai 2016, terdapat sebanyak 65 buah negara yang melaporkan jangkitan virus Zika. Manakala di Malaysia, tiada jangkitan virus Zika yang dikesan setakat ini berdasarkan kepada 508 sampel yang telah diuji oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Selain itu, saringan pelawat di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) masih diteruskan dan setakat ini tiada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika tersebut.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
23 Julai 2016
Categories: Communicable disease, Dengue, Dengue, Press