Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai situasi semasa penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau Hand, Foot And Mouth Disease (HFMD) di Malaysia. Penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun. Pada Minggu Epid (ME) 31/2016 (31 Julai 2016 – 6 Ogos 2016) bilangan kes HFMD yang dilaporkan di seluruh negara ialah 1,885 kes iaitu peningkatan 600 kes (46.7%) berbanding minggu sebelumnya (1,285 kes). Dari 3 Januari 2016 hingga 6 Ogos 2016, sejumlah 23,454 kes HFMD telah dilaporkan dengan purata kes dilaporkan seminggu untuk seluruh negara sebanyak 757 kes. Jumlah ini menunjukkan peningkatan kes sebanyak 17.8% jika dibandingkan dengan minggu yang sama pada tahun 2015 di mana sebanyak 19,916 kes telah dilaporkan dengan purata mingguan sebanyak 642 kes.
Negeri Selangor menyumbangkan jumlah kes tertinggi berbanding negeri lain iaitu 7,471 kes (31.9%), diikuti oleh Sarawak 3,007 kes (12.8%), Johor 2,294 kes (9.8%), WPKL 2,084 kes (8.9%), Sabah 1,535 kes (6.5%), Perak 1,361 kes (5.8%), Pulau Pinang 1,357 kes (5.8%), Melaka 1,198 kes (5.1%), Negeri Sembilan 889 kes (3.8%) dan Kedah 641 kes (2.7%) dan sementara negeri-negeri lain kurang daripada 500 kes. Tiga (3) daerah di Selangor yang mencatatkan bilangan kes tertinggi HFMD adalah daerah Petaling (2,699 kes), Hulu Langat (1,801 kes) dan Klang (1,023 kes).
Wabak HFMD ditakrifkan apabila terdapat dua (2) atau lebih kes HFMD dimana gejalanya timbul dalam tempoh dua (2) minggu di dalam lokaliti yang sama. Pada ME 31/2016 sebanyak 69 wabak telah dilaporkan di seluruh negara iaitu peningkatan 30.2% (16 wabak) berbanding minggu sebelumnya (53 wabak). Dari 3 Januari 2016 hingga 6 Ogos 2016, jumlah wabak yang dilaporkan adalah 844 wabak, hampir menyamai jumlah wabak yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun 2015 (895 wabak). Trend peningkatan wabak ini berlaku selari dengan peningkatan kes yang berlaku di seluruh negara. Negeri Sarawak mencatatkan bilangan kejadian wabak tertinggi dengan 316 wabak (37.4%) berbanding negeri lain, diikuti Selangor 185 wabak (21.9%), WPKL 90 wabak (10.7%), Johor 56 wabak (6.6%), Melaka 54 wabak (6.4%), Perak 33 wabak (3.9%), Pulau Pinang 31 wabak (3.7%) dan Negeri Sembilan 24 wabak (2.8%) sementara negeri-negeri lain kurang daripada 20 kejadian wabak.
Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes di Malaysia adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan diikuti oleh Enterovirus 71 (EV 71). Virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, sentuhan cecair lepuh (blister) dan najis dari mereka yang berpenyakit. Tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh (7) ke sepuluh (10) hari. Selain itu, kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku.
Walan pun penyakit HFMD ini kebiasaannya gejala ringan namun ianya cepat menular dengan kadar serangan hampir 100% di kalangan kanak-kanak kurang dari sepuluh (10) tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska/tadika. Di samping itu, ianya mempunyai implikasi sosial kepada ibubapa dan penjaga yang terpaksa bercuti bagi menjaga kanak-kanak di rumah. Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:
- Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
- Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan;
- Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut;
- Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas;
- Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul; dan
- Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.
Pihak pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengambil langkah-langkah yang sama seperti di atas. Di samping itu, saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) dilakukan bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.
Oleh itu, langkah-langkah pencegahan seperti di atas adalah amat penting bagi mengelakkan peningkatan kes pada tahun ini. KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan. Penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pengamal Perubatan dan orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska/tadika/sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran. Klik: Senarai Pejabat Kesihatan Daerah
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
11 Ogos 2016
Categories: Communicable disease, Press