Kenyataan Akhbar KPK 12 Ogos 2016 – Situasi Terkini Demam Denggi dan Zika di Malaysia Bagi Minggu 31/2016 (31 Julai hingga 6 Ogos 2016)

Untuk tempoh tiga minggu kebelakangan ini, tren Demam Denggi di seluruh negara menunjukkan penurunan kes. Pada minggu ke-31 (iaitu dari 31 Julai hingga 6 Ogos 2016) kes Demam Denggi di seluruh negara berkurangan sebanyak 4.1% iaitu 1,819 kes berbanding 1,896 kes pada minggu sebelumnya dan tiada kematian yang dilaporkan. Walau bagaimanapun, terdapat lapan (8) buah negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang 32 kes (59.3%), Kelantan 18 kes (8.3%), Perak 13 kes (30.2%), Pulau Pinang 8 kes (47.1%), Terengganu 4 kes (30.8%), Perlis 3 kes (150.0%), Kedah 3 kes (18.8%) dan WP Labuan 2 kes.

z.JPG
Secara kumulatif dari Januari hingga 6 Ogos 2016, jumlah kes Demam Denggi adalah sebanyak 67,437 kes, berbanding 73,263 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, iaitu penurunan sebanyak 8.0% (5,826 kes). Manakala bagi jumlah kumulatif kematian Denggi dari Januari sehingga 6 Ogos 2016 pula, sebanyak 147 kematian telah dilaporkan berbanding 201 kematian bagi tempoh sama tahun 2015, iaitu pengurangan sebanyak 26.9% (54 kematian).

Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati penurunan lokaliti wabak pada minggu ke-31 berbanding minggu sebelumnya iaitu daripada 755 lokaliti pada minggu ke-30 kepada 661 lokaliti pada minggu ke-31. Manakala, jumlah lokaliti hotspot juga didapati berkurangan daripada 93 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 85 lokaliti pada minggu ke-31. Lokaliti hotspot ini melibatkan enam (6) buah negeri iaitu di Selangor (74), Johor (6), Perak (2) dan masing-masing satu (1) lokaliti di WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Kelantan dan Sabah.

Negeri Selangor tetap menunjukkan bilangan hotspot yang tinggi setiap minggu. Antara faktor penyumbang adalah peningkatan dari segi kepadatan penduduk, tapak binaan, pembuangan sampah tidak terurus dan bangunan bertingkat. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Farah Amirah et al 2016 untuk melihat profil nyamuk Aedes di bangunan bertingkat di negeri Selangor, didapati indeks ovitrap yang agak tinggi di pangsapuri (16.7%) berbanding apartmen (6.1%). Antara penemuan penting hasil kajian tersebut adalah keadaan sanitasi dan kebersihan pangsapuri yang tidak memuaskan kerana terdapat banyak bekas-bekas domestik seperti baldi, pasu dan mangkuk plastik selain sampah yang dibuang di atas bumbung bangunan oleh penduduk setempat yang tidak bertanggungjawab. Di samping itu, kajian tersebut juga mendapati air bertakung di koridor dan parit selepas hujan yang menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah peningkatan kes Demam Denggi, komuniti setempat perlu memainkan peranan untuk melakukan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan tempat tinggal mereka secara berkala. Bahan pembunuh jentik boleh digunakan pada tempat air bertakung seperti di parit dan koridor. Bagi bangunan bertingkat, pihak pengurusan bangunan hendaklah memastikan penyelenggaraan pengurusan sampah dilakukan secara berkala untuk mengekalkan persekitaran bersih.

Mengenai situasi terkini penyakit Zika yang telah dikemas kini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 4 Ogos 2016, terdapat sebanyak 68 buah negara yang terlibat. Survelan berterusan untuk mengesan jangkitan Zika masih dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan juga Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Dari Jun 2015 sehingga 6 Ogos 2016 sebanyak 672 sampel telah diuji dan tiada jangkitan virus Zika yang dikesan setakat ini. Selain itu, saringan pelawat di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) masih diteruskan dan setakat ini tiada pelawat yang disyaki dijangkiti virus Zika tersebut.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
12 Ogos 2016

z2z3z4
z5.JPG

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s