Food

Kenyataan Akhbar KPK 27 Ogos 2016 – Keracunan Makanan di Sekolah Asrama Harian, Perak dan Sekolah Sukan Malaysia, Terengganu

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum kejadian keracunan makanan yang berlaku di sekolah dan institusi pendidikan.

Terkini, kejadian keracunan makanan yang berlaku melibatkan dapur asrama Sekolah Menengah Poh Lam, Lahat, Perak pada 25 Ogos 2016 yang melibatkan 70 orang pelajar. Siasatan awal oleh KKM mendapati makanan yang disyaki adalah kari telur bagi menu makan tengahari pada 25 Ogos 2016 dan bakteria yang disyaki adalah Salmonella spp. Selain itu kejadian keracunan makanan juga berlaku melibatkan dapur asrama Sekolah Sukan Malaysia Terengganu pada 24 Ogos 2016 yang melibatkan 12 orang pelajar. Siasatan awal KKM mendapati makanan disyaki adalah ayam masak merah yang dihidangkan semasa menu makan malam pada 23 Ogos 2016 dan bakteria disyaki adalah Salmonella spp. Kedua-dua premis ini ditutup di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

bahayanya-bakteria-01.png

KKM memandang serius kejadian keracunan makanan yang berlaku di kantin dan dapur asrama sekolah serta institusi pendidikan. Dalam hal ini, KKM  telah mengambil beberapa langkah kawalan yang berterusan. Di samping pemeriksaan rutin, KKM telah meningkatkan pemeriksaan ke atas kantin dan dapur asrama sekolah serta institusi pendidikan melalui Operasi Premis Bersih di seluruh negara.

Pada tahun 2015 sehingga 30 Jun 2016, melalui pemeriksaan rutin sebanyak 30,314 pemeriksaan telah dijalankan yang meliputi pemeriksaan ke atas 24,280 kantin sekolah dan kantin institusi pendidikan serta 6,034 dapur asrama sekolah di seluruh negara. Melalui pemeriksaan ini, sebanyak 261 (0.9%) arahan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan.

Manakala melalui Operasi Premis Bersih, sehingga 7 Jun 2016 sebanyak 1,063 pemeriksaan telah dijalankan yang meliputi pemeriksaan ke atas 757 kantin sekolah dan 306 dapur asrama sekolah di seluruh negara. Melalui pemeriksaan ini, sebanyak 18  (2.1%) arahan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan. Manakala 141 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kepada pengusaha kantin sekolah atau dapur asrama sekolah  yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan diwajibkan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat suntikan vaksin anti tifoid.

5-cara-menjamin-keselamtan-makanan

KKM juga menjalankan pelbagai aktiviti promosi keselamatan makanan seperti pelaksanaan Pemeriksaan Sendiri (KENDIRI) tahap kebersihan kantin dan dapur asrama sekolah serta institusi pendidikan, pameran dan ceramah keselamatan makanan dan Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kepada pihak pengusaha dan pengendali makanan.

KKM dan KPM bekerjasama rapat bagi mengurangkan kejadian keracunan makanan yang berlaku di kantin dan dapur asrama sekolah  serta institusi pendidikan. Ini termasuk memperkukuh syarat-syarat perjanjian Kontrak Pembekalan Makanan Bermasak, semakan menu makanan yang berisiko tinggi, menambahbaik garispanduan kebersihan premis makanan di sekolah dan institusi pendidikan serta mewujudkan modul latihan.

KKM tidak akan berkompromi dengan kejadian keracunan makanan dan akan mengambil tindakan penguatkuasaan seperti penutupan premis dan mengenakan kompaun sekiranya pihak pengusaha dapur asrama, kantin sekolah atau kantin institusi pendidikan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sehubungan itu, pengguna tidak perlu khuatir kerana KKM sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan pengguna boleh membuat laporan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia

27 Ogos 2016

Categories: Food, Food Safety, Press, vaccine

Tagged as:

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s