Kenyataan Akhbar KPK 30 Ogos 2016 – Penjualan Sijil Cuti Sakit (MC) Secara Atas Talian (Online)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sangat memandang serius dan berasa kesal kerana didapati masih terdapat ramai pihak yang mengambil mudah mengenai penjualan sijil cuti sakit (MC), malah ada yang tidak bertanggungjawab dengan mengiklankan penjualan sijil cuti sakit secara atas talian (on-line), sama ada dengan atau tanpa penglibatan pengamal perubatan atau pengamal pergigian berdaftar, di klinik dan hospital swasta, mahupun Kerajaan. Ini kerana penjualan sijil cuti sakit palsu boleh memberi pelbagai implikasi negatif, termasuk kepada produktiviti Negara, isu-isu perundangan dan sebagainya.

card

Dari segi perundangan, sijil cuti sakit yang boleh diterimapakai hanyalah yang dikeluarkan oleh seorang pengamal perubatan berdaftar selaras dengan Seksyen 27, Akta Perubatan 1971 [Akta 50] atau oleh seorang pengamal pergigian berdaftar selaras dengan Seksyen 26, Akta Pergigian 1971 [Akta 51]. Tatacara pengeluaran sijil cuti sakit telah digariskan di bawah Code of Professional Conduct yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau Majlis Pergigian Malaysia (MDC) di mana pengamal perubatan atau pergigian tersebut bertanggungjawab untuk memeriksa pesakit dengan teliti dan hanya mengeluarkan sijil cuti sakit sekiranya didapati pesakit tersebut benar-benar tidak dapat menjalankan pekerjaan mereka.

KKM juga menyedari bahawa pelbagai alasan telah digunapakai untuk menghalalkan penyalahgunaan sijil cuti sakit tersebut, tetapi KKM ingin terus memaklumkan bahawa sijil cuti sakit merupakan satu bentuk dokumen pengesahan yang hanya boleh dikeluarkan oleh seorang pengamal perubatan atau pergigian berdaftar, selepas seseorang pesakit itu menjalani pemeriksaan kesihatan di mana-mana fasiliti jagaan kesihatan, sama ada swasta atau awam, bagi menyatakan bahawa seseorang itu tidak dapat bekerja atau berfungsi kerana tidak sihat pada hari yang berkenaan.

Majikan atau ketua jabatan adalah disarankan supaya bertindak tegas untuk tidak menerima sijil cuti sakit palsu memandangkan majikan atau ketua jabatan adalah pihak yang boleh menerima atau menolak sebarang cuti sakit yang dikemukakan pekerja, berdasarkan kepada kelayakan dan sokongan daripada doktor yang berdaftar dengan MMC bagi pengamal perubatan atau berdaftar dengan MDC bagi pengamal pergigian.

Mengemukakan Sijil Cuti Sakit Palsu

KKM juga ingin menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan atau pergigian berdaftar di fasiliti jagaan kesihatan dan tidak menggunakan perkhidmatan penjualan sijil cuti sakit melalui atas talian, kerana mengemukakan sijil cuti sakit palsu bukan sekadar akan menjejaskan integriti seseorang individu, malah bagi penjawat awam, tindakan tatatertib seperti dibuang kerja juga boleh diambil.

Susulan itu, KKM menyarankan mana-mana majikan, ketua jabatan atau orang perseorangan yang mengesyaki sijil cuti sakit yang dikemukakan diragui kesahihannya, agar membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil. Begitu juga sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mengetahui wujudnya aktiviti penjualan sijil cuti sakit palsu termasuk pengeluaran sijil cuti sakit oleh sindiket melalui atau tanpa transaksi atas talian (online), boleh dilaporkan kepada polis. Semua yang terlibat boleh disiasat bawah unsur penipuan.

mc

Malah, sekiranya didapati seseorang pengamal perubatan atau pergigian berdaftar terbukti terlibat dalam pengeluaran sijil cuti sakit palsu, pihak majikan atau ketua jabatan juga boleh membuat aduan kepada MMC (bagi pengamal perubatan berdaftar), atau kepada MDC (bagi pengamal pergigian berdaftar).

Aduan terhadap kejadian penjualan sijil cuti sakit palsu yang melibatkan klinik atau hospital swasta juga boleh dikemukakan kepada KKM, dengan mengemukakan maklumat termasuk nama dan alamat klinik atau hospital yang terlibat melalui emel di ckaps.aduan@moh.gov.my. KKM akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya, selaras dengan Akta 586. KKM juga sememangnya menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan ini.

Adalah diharapkan isu penjualan dan pembelian sijil cuti sakit palsu melalui talian (online) ini dapat dihentikan dengan serta merta dan semua pihak boleh bekerjasama bagi memastikan kejadian sebegini dapat dibendung daripada berleluasa dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  

30 Ogos 2016

sijil-palsu

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s