Kenyataan Akhbar KPK 6 September 2016 – Waspada Pembelian dan Penjualan Ubat Atas Talian

Kepesatan teknologi telah menyebabkan mekanisme perniagaan secara konvensional telah beralih kepada perniagaan atas talian termasuklah penjualan ubat-ubatan. Lebih membimbangkan apabila ada peniaga dalam talian turut mengiklankan ubat-ubatan dengan pelbagai tuntutan perubatan yang diragui kesahihannya termasuklah ubat yang tidak berdaftar, produk dicemari racun, produk tiruan dalam pelbagai platform di Internet termasuklah laman web, media sosial dan sebagainya. Lebih membahayakan lagi, terdapat juga akibat kesan sampingan yang dialami selepas membeli produk atas talian.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Persidangan Penguatkuasaan Inter-agensi Kebangsaan 2016 yang bertemakan ‘’Rangka Kerja Penguatkuasaan: Memerangi Penjualan Ubat Dalam Talian”. Antara objektif persidangan ini adalah mengukuhkan kolaborasi dalam kalangan agensi penguatkuasaan yang melibatkan jenayah siber farmaseutikal dan memperkukuhkan kapasiti modal insan dalam menangani jenayah siber.

waspada-full

Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama dengan 193 agensi penguatkuasaan lain dari 103 buah negara di dunia telah mengambil bahagian dalam satu operasi antarabangsa yang telah dijalankan bermula pada 30 Mei hingga 7 Jun 2016. Operasi Pangea IX yang diselaraskan oleh Interpol ini memberi tumpuan kepada laman web yang menawarkan ubat-ubatan yang berbahaya dan ini adalah tindakan penguatkuasaan berasaskan Internet yang terbesar seumpamanya diadakan. Kejayaan yang besar pada operasi kali ini juga adalah kerana adanya penglibatan daripada agensi-agensi swasta yang berkaitan internet dan juga daripada agensi yang mengendalikan pembayaran secara atas talian. Hasil operasi tersebut, sebanyak 12.2 juta ubat-ubatan yang dipercayai boleh membahayakan pengguna bernilai kira-kira RM 212 juta (USD 53 million) telah dirampas di seluruh dunia.

timthumb

Operasi Pangea IX mensasarkan 3 aspek utama dalam permerdagangan ubat haram melalui internet iaitu pembekal perkhidmatan internet (ISP), sistem pembayaran elektronik dan perkhidmatan penghantaran. Operasi itu turut mensasarkan beberapa aspek utama yang dieksploitasi oleh jenayah terancang dalam memperdagangkan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang di atas talian: penipuan pendaftar nama domain, sistem pembayaran elektronik dan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan. Sebanyak 700 siasatan kini juga telah dilancarkan oleh pihak berkuasa negara di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya 40 kes yang berkait langsung dengan jenayah terancang. Selain itu, penekanan turut diberikan ke atas aktiviti meningkatkan kesedaran pengguna tentang risiko dan bahaya pembelian ubat-ubatan secara atas talian.

Hasil keseluruhan Operasi PANGEA IX ini sebanyak 4,932 laman web yang terlibat dengan penjualan ubat – ubatan tiruan dan tidak sah telah disiasat dan ditutup di seluruh dunia. Sebanyak 334,000 bungkusan pos dan kurier telah diperiksa oleh agensi-agensi penguatkuasaan di seluruh dunia di mana 170,340 daripadanya telah dirampas.

pang

Di Malaysia, operasi ini melibatkan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis DiRaja Malaysia dan Cybersecurity Malaysia (CSM). Sebanyak 244 laman web dan 197 laman sosial telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan kerana didapati menjual produk Farmaseutikal yang tidak berdaftar, dicampur racun dan juga kosmetik tidak bernotifikasi. Senarai laman web dan media sosial yang diambil tindakan ini akan dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Facebook untuk tindakan penutupan.

Aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan dan pemeriksaan ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat. Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan pusat mel dan kurier, lapangan terbang, pos sempadan, terminal feri dan sebagainya. Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 26,949 bungkusan dan 266 premis telah diperiksa dengan nilai rampasan keseluruhan RM 1,374,836.00. Daripada jumlah tersebut 707 bungkusan pos dan kurier bernilai RM 1,310,040.00 turut dirampas. Antara produk utama yang dikesan dan dirampas adalah produk peransang seks, pelangsing badan, ubat untuk pengguguran, kosmetik dan produk tradisional dicampur racun yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM. Selain itu, serbuan juga telah dijalankan ke atas 93 premis yang kebanyakannya menjual produk Farmaseutikal secara atas talian di seluruh Negara. Dalam serbuan tersebut, 1,228 produk Farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 2,142,503.00. Turut dirampas adalah 29 peralatan digital seperti komputer, tablet dan telefon bimbit bernilai RM 37,320 yang digunakan untuk memasarkan produk.

ne_07.1

Kementerian Kesihatan di bawah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi juga bakal membangunkan Makmal Forensik Siber bagi mengembangkan lagi aktiviti siasatan siber yang kini dilakukan oleh pasukan siber Farmasi. Makmal ini akan berfungsi untuk menyiasat dan menganalisa kes-kes siber yang melibatkan Farmaseutikal bagi dijadikan bukti untuk pendakwaan. Makmal Forensik Digital Farmasi juga dirancang sebagai nukleus untuk “Centre of Excellent” yang akan menjadi rujukan kepada Penguatkuasa KKM yang lain.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia juga memberi amaran kepada semua penjual ubat-ubat dalam talian supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang sediada bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terdapat mereka. Penjualan ubat di alam maya tidak bermakna mereka boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.

netizen-full

Orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada apabila membeli ubat secara dalam talian dan sentiasa membuat semakan terdahulu sebelum klik untuk pembelian. Untuk mendapatkan panduan, tips, info, video yang berkaitan dengan risiko pembelian ubat dalam talian, orang awam dinasihatkan untuk melayari laman www.pharmacy.gov.my/v2/website/waspada-belian-ubat-online.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau aduan berhubung penjualan ubat-ubatan, sila hubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana- mana pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

6 September 2016

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s