Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sejak dua minggu kebelakangan ini, kes Demam Denggi yang dilaporkan di seluruh negara menunjukkan pengurangan kes. Pada minggu lepas iaitu minggu ke-36 tahun 2016 (dari 4 hingga 10 September 2016), kes Demam Denggi di seluruh negara adalah sebanyak 2,095 kes berbanding 2,143 kes pada minggu sebelumnya iaitu pengurangan sebanyak 48 kes (2.2%). Walau bagaimanapun, terdapat tujuh (7) buah negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor 31 kes (21.7%), Sabah 25 kes (25.3%), Negeri Sembilan 23 kes (52.3%), Perak 19 kes (46.3%), Perlis 11 kes (100%), Sarawak 5 kes (10.9%) dan WP Labuan 1 kes (100%).
Dari Januari sehingga 10 September 2016, jumlah kumulatif kes Demam Denggi di seluruh negara adalah sebanyak 78,077 kes, berbanding 85,488 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, iaitu penurunan sebanyak 8.7% (7,411 kes). Manakala bagi tempoh yang sama, jumlah kumulatif kematian Denggi turut menunjukkan pengurangan sebanyak 24.8% (58 kematian), iaitu 176 kematian berbanding 234 kematian pada tahun 2015.
Pada minggu lepas terdapat penurunan lokaliti wabak Denggi dari 770 lokaliti pada minggu sebelumnya kepada 716 lokaliti wabak. Begitu juga lokaliti hotspot telah berkurangan daripada 104 lokaliti kepada 98 lokaliti. Lokaliti hotspot ini dilaporkan di lima (5) buah negeri iaitu di Selangor (82 lokaliti), Kelantan (7 lokaliti), Johor (6 lokaliti), WP Kuala Lumpur & Putrajaya (2 lokaliti) dan Sabah (1 lokaliti).
Walaupun kes Denggi menunjukkan tren penurunan ketika ini, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak alpa kerana kes dijangka boleh meningkat semula sekiranya tiada langkah-langkah pencegahan yang dilakukan oleh semua pihak. Sempena cuti sekolah dan cuti perayaan ketika ini, KKM ingin mengingatkan pihak masyarakat untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah masing-masing setiap minggu agar bebas daripada pembiakan Aedes yang bukan sahaja vektor bagi penyakit Demam Denggi tetapi juga Zika. Apabila beriadah bersama keluarga, pastikan amalan perlindungan diri daripada gigitan nyamuk dipraktikkan seperti menggunakan repelen dan memakai baju cerah yang menutup anggota. Marilah kita bersama-sama melindungi diri dan keluarga kita dari ancaman Demam Denggi dan juga Zika. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
20 September 2016
Categories: Dengue, Press, Uncategorized