Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 29 September – Kluster Acute Gastroenteritis di Kedah dan Pulau Pinang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada 28 September 2016, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah melaporkan tujuh (7) kes acute gastroenteritis (AGE). Mereka dalam lingkungan umur 11 bulan ke 10 tahun. Tiga (3) dari kes itu datangnya dari satu keluarga manakala empat (4) lagi kes sporadik. Kesemua mereka mula mengalami gejala pada 26 September 2016 dan telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Mereka memberi sejarah melawat taman rekreasi di Bukit Merah pada 24 September 2016.

Semua negeri telah dimaklumkan mengenai kejadian ini supaya meningkatkan pemantauan kes AGE dalam tempoh seminggu ini. Setakat ini, Pulau Pinang melaporkan dua (2) kes AGE dengan sejarah mandi manda di Bukit Merah. Kanak-kanak tersebut masing-masing berumur 3 dan 5 tahun datang dari keluarga berbeza dan telah dimasukkan ke hospital. Walau bagaimanapun beberapa orang sepupu bagi kedua-dua kes ini yang turut serta ke taman rekreasi ini tidak menunjukkan gejala AGE. Kesemua sembilan (9) kes dalam keadaan stabil. Sehingga kini hanya tiga (3) kes sahaja telah disahkan positif rotavirus. Ketiga-tiganya dirawat di Hospital Kulim, Kedah.

Rotavirus adalah penyebab utama cirit-birit teruk di kalangan kanak-kanak, terutama yang berumur 6 bulan ke 3 tahun. Virus ini mudah menjangkiti kanak-kanak melalui makanan, air serta pencemaran akibat persekitaran tidak bersih dan sanitari. Jangkitan menyebabkan cirit-birit teruk, mengakibatkan dehidrasi yang boleh membawa maut.

10898177_10152487330621237_2847896345489996802_n-png

Secara umum, ibubapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak-anak mereka yang mempunyai gejala cirit-birit menghadiri taska, tadika, sekolah atau kolam renang bagi mengelak merebakkan jangkitan kepada orang lain. Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas mengendalikan anak yang ada AGE sebelum menyediakan makanan atau sebelum mengendalikan anak-anak lain.

KKM masih menjalankan siasatan ke atas kejadian ini dan akan terus memantau perkembangannya. Pengamal Perubatan swasta diminta untuk melaporkan semua kes cirit birit yang mempunyai sejarah lawatan ke taman rekreasi di Bukit Merah kepada Pejabat Kesihatan yang berhampiran. Ibu bapa pula adalah dinasihatkan untuk membawa anak dengan cirit birit untuk mendapatkan rawatan dan nasihat doktor.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 

28 September 2016

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s