Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa hasil daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif atau active case detection (ACD) di kawasan berisiko tinggi malaria, yang dilakukan oleh anggota kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak di bawah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, telah terdapat seramai tiga (3) orang penduduk di Pos Kemar yang dikesan positif untuk malaria spesis Plasmodium vivax (P. vivax) pada 16 November 2016. Berikutan dari pengesanan kes malaria ini, JKN Perak dan PKD Hulu Perak telah memulakan aktiviti saringan terhadap kontak dan semua penduduk dalam lingkungan 2 km radius daripada tempat kes berlaku.
Sehingga 20 November 2016, sebanyak 334 orang telah dibuat ujian slaid darah dan sebanyak 41 kes positif telah dikesan untuk malaria. Daripada jumlah kes yang dikesan, sebanyak 59% (24 kes) adalah lelaki dan 41% (17 kes) ialah perempuan. Manakala sebanyak 24 kes (59%) yang dikesan juga adalah di kalangan kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah. Kesemua kes yang dikesan adalah dari spesis Plasmodium vivax (P. vivax). Sebanyak 20 kes telah dimasukkan ke wad di Hospital Gerik manakala 21 kes lagi akan dirujuk ke hospital hari ini untuk tujuan rawatan.
KKM melalui JKN Perak dan PKD Hulu Perak telah menjalankan aktiviti kawalan dengan segera bagi mengurangkan risiko jangkitan. Sehingga hari ini, sebanyak 90 rumah daripada 317 buah rumah di kawasan wabak telah diedarkan kelambu berubat. Di samping itu aktiviti semburan residu turut dijalankan di 40 buah rumah bertujuan untuk mengawal nyamuk Anopheles iaitu vektor untuk penyakit malaria. Aktiviti larvaciding juga telah dijalankan untuk memusnahkan punca pembiakan nyamuk.
Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Peringkat Daerah bersama Pegawai Daerah Gerik untuk menangani situasi ini akan diadakan dalam masa terdekat. Mobilisasi sumber dan anggota kesihatan di peringkat Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak juga dilaksanakan untuk membantu dalam aktiviti kawalan dan pencegahan supaya kejadian wabak malaria ini dapat ditamatkan dengan segera.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
21 November 2016
Categories: Communicable disease, Malaria, Press