Program iGG telah dimulakan di Melaka Bandaraya Bersejarah pada bulan Mei 2016 dengan 30 orang sukarelawan dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang. Para ikon ini diberi latihan terlebih dahulu berpandukan modul penjagaan kesihatan pergigian. Walau bagaimanapun, ikon pergigian ini masih dibimbing dan dipantau oleh fasilitator yang terdiri daripada Pegawai Pergigian. Hasilnya, semenjak program ini dimulakan, iGG begitu bersemangat menyebarkan promosi kesihatan pergigian dalam kelompok mereka sendiri.
Usaha ini terus diperkukuhkan apabila Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Terengganu telah melatih seramai 30 orang sukarelawan di Negeri Terengganu yang sebahagiannya dapat turut hadir bersama-sama kita pada majlis pada pagi ini. Negeri Kelantan juga sedang giat berusaha untuk melatih kohort ketiga kumpulan iGG. Justeru, dengan pertambahan jumlah iGG ini, adalah diharapkan agar objektif majlis pelancaran program iGG tercapai dengan jayanya iaitu untuk mewar-warkan kepada masyarakat akan kewujudan program ini dan sekali gus menarik perhatian kelompok komuniti untuk menjadi sukarelawan. Ini secara langsung akan menjadikan iGG sebahagian dari keluarga pergigian. Tahniah dan terima kasih kepada semua sukarelawan iGG!
Sesungguhnya, promosi kesihatan melibatkan bukan hanya aktiviti penyebaran maklumat tetapi juga membabitkan keupayaan untuk mempengaruhi aktiviti-aktiviti individu, kumpulan masyarakat, pihak majikan atau pihak berkuasa tempatan. Pelbagai medium promosi mengikut masa telah dimanfaatkan bersesuaian dengan kumpulan sasaran. Diharapkan dengan adanya program iGG ini, penyampaian maklumat kesihatan pergigian akan lebih berkesan dan meluas kerana hanya ikon yang dapat memahami masyarakat sekelilingnya dengan lebih dekat.