Pada 14 Disember 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima satu (1) laporan mengenai jangkitan Zika yang merupakan kes ke lapan (8) di Malaysia yang dikesan melalui Sistem Survelan Virus Zika, iaitu melibatkan seorang lelaki berumur 67 tahun menetap di Petaling Jaya, Selangor. Pada 28 November 2016, pesakit telah mengalami gejala demam, loya dan cirit-birit dan mendapatkan rawatan pertama pada 30 November di Klinik Kesihatan Tangling, Kuala Lumpur. Ujian saringan darah tidak menunjukkan kelainan yang signifikan. Pesakit diberi rawatan simptomatik dan dinasihat datang semula jika gejala semakin melarat. Keesokan harinya (1 Disember 2016), pesakit kembali dengan gejala bisa badan dan sendi. Denggi telah disyaki namun ujian denggi yang dilakukan adalah negatif. Dalam pada itu, kes telah dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Petaling sebagai disyaki denggi dan pesakit diminta kembali setiap hari bagi memantau ujian darah.
Oleh kerana ujian denggi adalah negatif walaupun pesakit menunjukkan gejala denggi, sampel darah telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian flavivirus yang lain (yellow fever, chikungunya dan zika) selaras dengan protokol saringan flavivirus kebangsaan. Pada 9 Disember MKAK telah memaklumkan ujian positif bagi zika dan sampel telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk pengesahan di samping sampel tambahan air kencing (urine). Pada 14 Disember IMR mengesahkan sampel urine juga positif bagi zika.
Sejarah pergerakkan pesakit dari 14 hingga 28 November 2016, menunjukkan beliau berada di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak. Ahli keluarga terdekat kepada pesakit telah disiasat dan sampel darah serta urine telah diambil untuk ujian saringan Zika sebaik keputusan diketahui. Aktiviti kawalan juga telah dilaksanakan pada 11 Disember 2016 yang melibatkan pemusnahan tempat pembiakan, larvasiding, pendidikan kesihatan dan semburan kabus di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati kes. Selain itu, Active Case Detection sedang dijalankan di kawasan kediaman kes untuk mengenal pasti sekiranya ada penduduk setempat yang mengalami gejala Zika.
Dari 1 September hingga 14 Disember 2016, terdapat sebanyak lapan (8) kes yang disahkan positif Zika di seluruh negara. Pemantauan Sistem Survelan Virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari bulan Jun 2015 sehingga 10 Disember 2016, mendapati keputusan ujian bagi 1,633 sampel darah dan air kencing yang telah diuji daripada pesakit yang menunjukkan gejala virus Zika adalah negatif.
Masyarakat dinasihatkan untuk memastikan kawasan di dalam dan di luar rumah sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes. Selain itu, langkah-langkah perlindungan diri daripada gigitan nyamuk perlu diamalkan seperti menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan. Bagi individu yang mengalami gejala Zika seperti demam, ruam, sakit kepala, sakit otot dan konjunktivitis serta pernah melawat ke negara endemik Zika atau mempunyai kontak kepada pesakit Zika, hendaklah berjumpa doktor dengan kadar segera. Sejarah perjalanan ke negara berendemik zika atau kontak kepada pesakit zika hendaklah dimaklumkan kepada doktor yang merawat.
“Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi”
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
18 Disember 2016
Categories: Communicable disease, Press, Zika