Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai dua kes kanak-kanak yang telah menjalani prosedur berkhatan di klinik swasta dan telah mengalami komplikasi daripada prosedur ini. Kanak-kanak tersebut kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Kes pertama adalah melibatkan kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun yang telah pertama kali diperiksa di Jabatan Kecemasan HKL pada 15 Disember 2016, pukul 3:34 petang. HKL dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani prosedur berkhatan di klinik swasta di Jalan Ipoh oleh General Practitioner (GP – doktor perubatan swasta) pada pukul 11:00 pagi hari yang sama. Kepala kemaluan kanak-kanak tersebut telah terputus semasa prosedur terbabit yang telah dijalankan menggunakan sepasang gunting. Doktor swasta terbabit kemudiannya telah merujuk kanak-kanak tersebut ke Desa Park Medical Centre dan kemudiannya dirujuk pula ke HKL.
Di HKL, beliau dibawa masuk ke Dewan Pembedahan Am untuk menjalani pembedahan kecemasan (exploration and replantation microsurgery). Pembedahan yang amat rumit ini telah mengambil masa 3 jam setengah, dan telah dilakukan secara segera pada petang yang sama. Adalah dimaklumkan bahawa terdapat kelewatan pesakit datang ke HKL pada hari tersebut, di mana perkara ini adalah di luar kawalan pihak HKL. Kini, pesakit tersebut masih di wad dan menjalani cucian luka yang kerap.
Kes kedua adalah melibatkan kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang telah pertama kali diperiksa di Jabatan Kecemasan HKL pada 20 Disember 2016, pukul 11:40 petang. Beliau telah dirujuk ke HKL oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). KKM dimaklumkan bahawa beliau telah berkhatan di klinik swasta setahun yang lepas, di mana ibu bapa beliau telah tidak berpuas hati dengan hasil akhir prosedur berkhatan tersebut. Oleh itu, ibu bapa kanak-kanak tersebut telah membawa beliau ke klinik swasta yang lain di Cheras pada 20 Disember 2016 untuk menjalani prosedur berkhatan semula (redo-circumcision) yang telah dijalankan pada pukul 8:30 malam. Kepala kemaluan kanak-kanak tersebut telah terputus semasa prosedur terbabit yang telah dijalankan menggunakan diathermy.
Sejurus itu, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke PPUKM dan kemudiannya dirujuk ke HKL di mana beliau telah dibawa masuk ke Dewan Pembedahan untuk menjalani pembedahan kecemasan (exploration and replantation microsurgery). Pembedahan tersebut telah mengambil masa selama 2 jam dan ianya juga merupakan pembedahan yang amat rumit terutama kerana teknik berkhatan semula (redo-circumcision) yang baru dilalui oleh kanak-kanak tersebut.
Selaku Pusat Rujukan Kebangsaaan, pakar pembedahan di HKL sememangnya telah dilatih dan dilengkapi dengan baik untuk merawat kes-kes seperti ini. Kedua-dua kes ini telah dikendalikan oleh Pakar-pakar Perunding Kanan iaitu sebuah pasukan yang terdiri daripada Pakar Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pakar Pembedahan Urologi dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak. Kedua-dua pesakit kini boleh membuang air kecil seperti biasa. Namun ianya masih terlalu awal untuk meramal kesan jangka masa panjang yang akan dihadapi semasa mereka lanjut dewasa. Kelewatan untuk mendapatkan rawatan bagi kes sebegini adalah berkait rapat dengan hasil akhir yang kurang baik bagi pesakit. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan rawatan awal. Berdasarkan keadaan pesakit semasa mendapatkan rawatan di HKL, pasukan pembedahan yang terdiri daripada pakar pembedahan yang dilengkapi dengan baik, bertauliah dan berpengalaman telah merawat pesakit dengan skil yang tinggi dan penuh dedikasi.
Keluarga kedua-dua kanak-kanak tersebut sentiasa dimaklumkan status keadaan semasa anak mereka. Kanak-kanak ini akan menjalani rawatan susulan yang kerap oleh Pakar Perunding Kanan yang terlibat, iaitu oleh Pakar Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Pakar Pembedahan Urologi dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak. KKM akan sentiasa membantu dan mencuba sedaya upaya memberi bantuan kepada kedua-kedua pesakit ini.
KKM memandang serius kejadian komplikasi berkhatan di klinik swasta ini. Oleh itu, Bahagian Amalan Perubatan KKM sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai keadaan yang menjurus kepada komplikasi dalam prosedur kes berkhatan ini, dan juga akan menilai amalan prosedur berkhatan di dalam negara ini agar dapat meminimakan kejadian seperti ini daripada berlaku. Adalah dimaklumkan bahawa KKM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada doktor perubatan swasta (GP) dan lain-lain pengamal kesihatan yang menjalankan prosedur berkhatan tanpa latihan yang diperlukan. Walaupun prosedur ini adalah merupakan prosedur yang ringkas, namun komplikasi daripada prosedur ini mungkin parah dan membawa padah kepada pesakit. Pengamal kesihatan di sektor swasta mahupun kerajaan perlu menjalani latihan sewajarnya agar mereka boleh menjalankan prosedur berkhatan ini dengan kompeten dan selamat.
Terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
30 Disember 2016
Categories: Medical profession, Patient Safety, Press