Kenyataan Akhbar KPK 21 Januari 2017 – Kawalan dan Tindakan Oleh KKM Ke Atas Produk Kosmetik di Pasaran

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memandang berat isu-isu berkaitan keselamatan dan kualiti produk kosmetik di pasaran. Kebelakangan ini terdapat banyak laporan di media massa yang melibatkan produk yang digunakan untuk tujuan kecantikan. Siasatan KKM menunjukkan kebanyakan produk-produk terlibat tidak dikategorikan sebagai kosmetik dan adalah produk farmaseutikal tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

nstcosmetic

Sumber: http://www.nst.com.my/news/2016/12/199095/killer-cosmetics-public-wants-better-safeguards

KAWALAN PRODUK KOSMETIK

Produk kosmetik adalah sediaan yang digunakan secara luaran sahaja (external use only) pada bahagian tubuh badan manusia untuk membersih, mewangi, mencantikkan dan menghilangkan bau badan dan ia dikawal di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952. Oleh itu, produk-produk untuk tujuan kecantikan seperti produk dalam bentuk suntikan contohnya suntikan yang mengandungi vitamin C atau glutathione atau collagen dan produk untuk dimakan tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik.

Semua produk kosmetik perlu dinotifikasi kepada KKM sebelum produk tersebut boleh dikilang, diimpot, dibekal atau dijual di pasaran Malaysia. Sistem bagi notifikasi kosmetik berkeupayaan untuk menyaring secara automatik (auto-screening) dan menolak notifikasi kosmetik yang mengandungi bahan terlarang (negative list) atau bahan yang melebihi syarat dan had yang dibenarkan. Sehingga Oktober 2016, sebanyak 119,769 produk kosmetik telah bernotifikasi dengan KKM.

Sistem notifikasi kosmetik di Malaysia diamalkan selaras dengan Sistem Harmonisasi Regulatori Kosmetik yang telah dilaksanakan di semua negara ASEAN. Sistem notifikasi kosmetik ini juga turut digunapakai di negara-negara lain seperti negara Kesatuan Eropah memandangkan produk kosmetik secara amnya adalah dikategorikan sebagai produk berisiko rendah dan digunakan secara luaran sahaja.

TINDAKAN KKM

1. Aktiviti Surveilans

KKM secara aktif menjalankan aktiviti surveilans seperti persampelan dan pengujian produk, penyaringan maklumat dan formulasi produk kosmetik, audit Fail Maklumat Produk, pemeriksaan premis pengilangan dan pemantauan iklan kosmetik termasuk media cetak, elektronik dan media sosial. Aktiviti persampelan produk kosmetik di pasaran adalah berdasarkan ‘risk-based approach’ contohnya produk kosmetik yang berisiko tinggi seperti produk pemutih kulit atau pencerah kulit.

Tindakan punitif akan dikenakan ke atas produk yang tidak mematuhi keperluan regulatori yang ditetapkan dan hebahan melalui kenyataan akhbar serta paparan di laman sesawang rasmi KKM. Sejumlah 2,277 produk kosmetik telah dibatalkan status notifikasi dari tahun 2013 hingga 2016.

2.Aktiviti penguatkuasaan

KKM secara berterusan menjalankan pemeriksaan ke atas premis menjual dan mengendalikan produk kosmetik serta individu yang menjual produk kosmetik secara atas talian dan pemeriksaan  saringan  di pintu masuk. Sepanjang tahun 2015 hingga November 2016, sebanyak 12,198 item kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM8.4 juta telah dirampas.

KKM  juga giat menjalankan pemantauan terhadap platform digital yang mengiklan dan menjual produk kosmetik secara atas talian.  Untuk tahun 2016, sebanyak 304 laman web dan media sosial telah disiasat oleh KKM dan 300 laman sesawang yang didapati melanggar akta yang dikuatkuasakan telah diserahkan kepada agensi yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook dan Google untuk tindakan sekatan dan penutupan.

Di bawah seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula,  di bawah seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952,  hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan pertama dan denda RM100,000 bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan.

 

LANGKAH-LANGKAH MEMPERKUKUHKAN KAWAL SELIA

1. Pindaan Akta dan Peraturan berkaitan

Bagi memperketatkan kawalan, KKM dalam usaha  meminda akta dan peraturan sedia ada seperti Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956. Antara pindaan yang dicadangkan termasuk mengenakan kompaun, meningkatkan penalti yang lebih tinggi serta memperketatkan peraturan-peraturan yang sedia ada.

 cosmetic1

Sumber: 1) http://www.nst.com.my/news/2016/12/199095/killer-cosmetics-public-wants-better-safeguards 2) http://www.nst.com.my/news/2016/12/198873/killer-cosmetics-checks-show-manufacturers-peddlers-cahoots

2. Meningkatkan kerjasama dan kolaborasi antara kementerian dan agensi

Tindakan bersepadu dengan lain-lain kementerian seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan diperkukuhkan supaya tindakan yang lebih menyeluruh dapat diambil ke atas syarikat yang tidak bertanggungjawab.

12646989_1127793543911199_5907245628378821697_n.jpg

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk kosmetik yang meragukan kepada pihak kementerian untuk membanteras penjualan kosmetik tidak bernotifikasi. Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau di talian 03-78413200 dan juga di mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi di setiap negeri. Orang awam juga boleh menyemak status notifikasi kosmetik melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi NPRA di talian 03-78835400.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 Januari 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s