Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu fucuk palsu yang menular di media sosial pada awal bulan Januari 2017 berdasarkan satu rakaman video pendek. Rakaman video pendek tersebut memaparkan dakwaan seorang wanita bahawa fucuk yang dibeli daripada sebuah pasaraya di Mersing, Johor disyaki diperbuat daripada plastik.
Berdasarkan maklumat tersebut, KKM telah menjalankan siasatan di pasaraya yang menjual fucuk tersebut dan seterusnya menjalankan siasatan di premis pemprosesan fucuk berkenaan. Hasil siasatan Kementerian Kesihatan mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas.
Sehubungan itu, KKM menyeru orang ramai yang ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan supaya tidak menyebarkan terus perkara tersebut melalui media sosial, sebaliknya perlu membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
27 Januari 2017
Categories: Food Safety, Press
1 reply »