Berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat peningkatan kes Demam Denggi dalam tempoh tiga (3) minggu dari 1 Januari hingga 21 Januari 2017. Pada minggu ketiga tahun 2017, iaitu bagi tempoh dari 15 hingga 21 Januari 2017, sebanyak 2,053 kes Demam Denggi telah dilaporkan berbanding 1,876 kes pada minggu sebelumnya, iaitu berlaku peningkatan sebanyak 177 kes (9.43%). Terdapat enam (6) negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan. Jumlah kumulatif kes yang dilaporkan dari 1 Januari sehingga 21 Januari 2017 adalah sebanyak 5,592 kes, berbanding 10,482 kes bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 46.7% (4,890 kes).
Bagi minggu ketiga tahun 2017, terdapat enam (6) kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian Denggi sehingga 21 Januari 2017 adalah sebanyak 13 kematian, berbanding 23 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu pengurangan sebanyak 10 kematian (43.5%).
Kawasan tempat kediaman pesakit-pesakit yang meninggal itu adalah merupakan sama ada kawasan wabak atau kawasan yang mempunyai kadar pembiakan yang tinggi. Oleh itu, Pejabat Kesihatan Daerah terlibat telah menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan di kawasan tersebut. Penduduk di kawasan ini diminta agar mempertingkatkan tahap kebersihan di mana takungan air dan tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan Aedes perlu dihapuskan atau memasukkan bahan pembunuh jentik-jentik supaya tiada lagi berlaku jangkitan kes denggi. Cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang iaitu sering kali hujan boleh meningkatkan lagi kadar pembiakan Aedes jika takungan-takungan air ini dibiarkan tanpa diperiksa dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Terdapat sebanyak 76 buah negara melaporkan jangkitan virus Zika berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 20 Januari 2017. Di Malaysia, terdapat sebanyak lapan (8) kes disahkan positif jangkitan virus Zika yang telah dilaporkan sepanjang tempoh dari 1 September 2016 sehingga 31 Disember 2016. Pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 1 Januari sehingga 21 Januari 2017, mendapati keputusan ujian bagi 97 sampel darah dan air kencing di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika adalah negatif. Tiada Aedes, Tiada Zika dan Denggi.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
29 Januari 2017
Categories: Communicable disease, Dengue, Dengue, Press, Zika