Kenyataan Akhbar KPK 10 Februari 2017 – Situasi Terkini Kejadian Jangkitan Saluran Pernafasan di Tanah Merah Kelantan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini kejadian jangkitan saluran pernafasan di Tanah Merah Kelantan, susulan daripada Kenyataan Akhbar Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan bertarikh 9 Februari 2017 dan laporan pihak media. Pemantauan ke atas kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan ini dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat sedang dilakukan secara rapi oleh KKM dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Sehingga 12:00 tengah hari 10 Februari 2017, bilangan kes yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan pernafasan masih kekal seramai 12 kes, iaitu enam (6) orang masih mendapat rawatan di hospital (keadaan stabil), seorang telah meninggal dunia dan lima (5) kes lagi mendapat rawatan pesakit luar (gejala ringan). Tiada kes baru yang dikesan dalam kalangan ahli keluarga yang menghadiri perjumpaan keluarga di Kajang, Selangor, mahupun kontak yang lain. Setakat ini juga, tiada kes baru dikesan dalam kalangan masyarakat dan orang ramai dinasihatkan agar tidak panik. Tambahan pula, tiada peningkatan kes berkaitan jangkitan saluran pernafasan dikesan termasuk di Negeri Kelantan dan Selangor. Penyiasatan setakat ini tidak mendapati sebarang kaitan dengan kejadian penyakit di kalangan haiwan. Oleh itu, kejadian ini merupakan kluster jangkitan saluran pernafasan yang terpencil. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih berkaitan kejadian ini serta mengikuti perkembangan yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh KKM.

Seperti juga jangkitan-jangkitan lain, pihak hospital kebiasaannya akan menjalankan ujian sampel klinikal, misalnya ujian kultur dan ujian serologi untuk mengesahkan punca jangkitan. Keputusan ujian-ujian sampel klinikal sememangnya mengambil masa untuk diproses dan disahkan. Pihak hospital yang berkenaan masih sedang memproses keputusan ujian sampel yang lain, namun ini tidak bermakna jangkitan pernafasan ini adalah penyakit misteri.

KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin serta kebersihan diri, terutamanya semasa berada di tempat awam. Sekiranya mengalami batuk dan demam, masyarakat diminta mendapat rawatan di kemudahan kesihatan terdekat.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

10 Februari 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s