Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada suatu video (klik untuk papar video) yang telah dikeluarkan oleh pihak tertentu mengenai status rakyat yang bukan beragama Islam yang ingin menderma organ. Untuk makluman, sistem pengagihan organ (organ allocation system) dari penderma yang telah meninggal dunia kepada penerima organ dijalankan berdasarkan kepada kriteria klinikal. Sebagai contoh, tempoh pesakit menjalani dialisis serta keserasian organ tersebut dengan system badan penerima. Pengagihan organ tidak berdasarkan kepada bangsa, agama, latar belakang, status di dalam masyarakat dan sebagainya. Ini bermakna, memang terdapat kemungkinan organ yang didermakan oleh orang bukan muslim diberikan kepada seorang muslim dan sebaliknya. Begitu juga dengan pendermaan dan transfusi darah.
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/sites/default/files/ebook/Keputusan_Muzakarah_2009_Final.pdf
Dari segi hukum pendermaan organ, fatwa telah pun dikeluarkan seawal tahun 1970 oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan pendermaan organ di kalangan masyarakat Islam. Ramai juga ahli-ahli agama termasuk pihak mufti yang telah memperjelaskan perkara ini dan tidak menjadi suatu halangan jika orang Islam menerima organ dan darah dari orang bukan Islam dan juga sebaliknya.
Video penjelasan mufti “Derma organ kepada orang bukan Islam” https://youtu.be/R5RaDPBobj4
KKM amat menghargai kesudian ramai rakyat Malaysia yang telah berdaftar sebagai penderma organ dan juga mereka yang menderma darah. Secara amnya, tahap kesedaran rakyat Malaysia semakin meningkat dan buat masa ini lebih dari 350,000 rakyat Malaysia telah berikrar sebagai penderma organ. KKM yakin bahawa kesudian rakyat Malaysia ini adalah didorong oleh rasa ikhlas bagi membantu serta menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan. Bagi mereka yang telah lama berikrar, mereka boleh memohon penggantian kad yang baru melalui http://www.fb.com/dermaorgan atau Twitter @dermaorgan. KKM juga mengalu-alukan lebih ramai lagi rakyat untuk berikrar sebagai penderma organ dengan berdaftar di http://www.dermaorgan.gov.my/.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2017
Categories: Organ Transplant, Press