Kenyataan Akhbar KPK 16 Februari 2017 – Kejadian Kes Kematian Leptospirosis di Tanah Merah, Kelantan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai satu (1) kes  kematian leptospirosis di Tanah Merah, Kelantan yang telah tersebar di media sosial di mana ianya melibatkan seorang tentera yang bertugas di Kem Tentera Bayan Lepas, Pulau Pinang. Setelah siasatan dijalankan, KKM ingin menegaskan kes ini tidak mempunyai kaitan dengan kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan yang dilaporkan berlaku di Tanah Merah, Kelantan sebelum ini. Beliau telah mula mengalami gejala demam dan sakit badan pada 8 Februari 2017 diikuti dengan gejala, cirit birit dan sesak nafas. Pada 12 Februari 2017, ketika pulang bercuti di Kelantan, pesakit mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tanah Merah dan seterusnya beliau telah dirujuk untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah. Pesakit meninggal dunia pada 15 Februari 2017 akibat komplikasi dari jangkitan leptospirosis yang dialaminya.

Leptospirosis adalah penyakit berjangkit daripada haiwan yang disebabkan oleh bakteria Leptospira kepada manusia (penyakit zoonotik). Penyakit leptospirosis berlaku di seluruh dunia dan adalah endemik (boleh dijumpai di merata tempat) di negara-negara beriklim tropika. Kejadian jangkitan leptospirosis dilaporkan berlaku dari masa ke semasa di negara-negara tersebut termasuk Malaysia.

16683943_10154124140656237_2886961873102773753_n

Jangkitan leptospirosis bergantung kepada pendedahan yang berlaku antara manusia dengan haiwan yang dijangkiti atau persekitaran yang tercemar dengan bakteria Leptospira samada melalui aktiviti-aktiviti harian, pekerjaan atau rekreasi. Antara kumpulan yang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit leptospirosis adalah seperti berikut:

  1. Pekerjaan yang terdedah kepada haiwan – pengendali haiwan ternakan dan haiwan peliharaan;
  2. Pekerja ladang – petani, peladang, pesawah dan lain-lain;
  3. Pekerjaan yang melibatkan aktiviti air dan aktiviti di hutan seperti bomba dan tentera;
  4. Melakukan aktiviti rekreasi yang terdedah kepada air dan tanah tercemar seperti berenang dan berkayak; dan
  5. Mengunjungi dan menikmati hidangan dari premis makanan yang kotor.

Sehubungan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut bagi mengelakkan jangkitan leptospirosis:

  1. Menjaga kebersihan persekitaran / premis, premis makanan dan tempat rekreasi agar bebas daripada tikus dan haiwan perosak yang lain. Sampah dan sisa makanan perlu dibuang secara sempurna;
  2. Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam / sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna. Elakkan daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau saliran air / sungai yang perlahan;
  3. Elakkan daripada minum air sungai / kolam yang tidak dimasak;
  4. Memilih premis makanan yang bersih dan elakkan daripada mengunjungi mana-mana premis makanan yang kotor; dan
  5. Bagi orang awam yang terdedah kepada risiko penyakit leptospirosis melalui pekerjaan dan aktiviti rekreasi supaya mengambil langkah-langkah berikut:
  • Memakai pakaian perlindungan yang kalis air seperti but getah dan sarung tangan;
  • Menutup luka-luka kulit dengan balutan yang kalis air;
  • Mencuci dengan air bersih dan sabun selepas pendedahan; dan
  • Mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mengalami gejala jangkitan

 

Sekian dan terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

16 Februari 2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s