Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa perjanjian perkhidmatan pembekalan ubat dan alat perubatan kepada pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Veteren Berpencen melalui sistem Electronic Medical Automation Supply System (e-MASS) yang disediakan oleh syarikat Oratis Rx Sdn Bhd telah tamat.
Bagi memastikan rawatan dan bekalan ubat bagi para pesara dapat diteruskan, pesara Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Veteren Berpencen boleh mendapatkan preskripsi ubat dan alat perubatan yang berada dalam stok dan formulari KKM di fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Manakala bagi ubatan dan alat perubatan yang tiada dalam stok/formulari KKM, ianya adalah dilaksanakan mengikut tatacara sediada.
Sepertimana semua rakyat Malaysia yang lain yang mendapatkan rawatan di KKM, golongan pesara juga akan terus diberi rawatan perubatan bersubsidi tinggi oleh Kerajaan. Pesara yang terbabit diminta mendapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital KKM agar rawatan perubatan mereka dapat diteruskan.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
2 Mac 2017