Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk laporan dalam laman sesawang Food Standards Australia New Zealand (FSANZ) mengenai penarikan balik produk makanan Floridia Grated Parmesan Cheese secara sukarela oleh syarikat Floridia Cheese Pty. Ltd. di Australia. Penarikan balik produk tersebut melibatkan batch “Best Before” 20/04/2017 hingga 14/04/2018 dalam saiz bungkusan 100g, 250g dan 500g kerana tidak mengisytiharkan kehadiran telur yang boleh menyebabkan hypersensitiviti (alahan) pada label produk berkenaan.
Peraturan 11(1)(ea) di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa jika makanan itu mengandungi ramuan yang diketahui boleh menyebabkan alahan, ramuan tersebut hendaklah dinyatakan pada label makanan tersebut.
Hasil semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mendapati produk tersebut ada diimport ke negara ini. KKM telah menghubungi syarikat yang mengimport produk tersebut dan syarikat berkenaan sedang dalam proses menarik balik produk yang terlibat di pasaran secara sukarela. KKM akan memantau penarikan balik produk tersebut.
Dalam hal ini, KKM menasihatkan pengguna yang mempunyai masalah alahan kepada telur supaya tidak makan produk Floridia Grated Parmesan Cheese dengan batch “Best Before” 20/04/2017 hingga 14/04/2018 tersebut.
KKM sentiasa peka dengan isu keselamatan dan kualiti makanan. Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini boleh dirujuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
3 Mei 2017
Categories: Food Safety