Kenyataan Akhbar KPK 31 Mei 2017 – Isu Mengenai Bak Chang (Rice Dumplings) Yang Didakwa Mengandungi Asid Borik

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “We don’t use boric acid in our rice dumplings, say sellers” yang disiarkan melalui akhbar The Star bertarikh 29 Mei 2017. Akhbar tersebut memetik laporan sebuah akhbar harian berbahasa Cina yang mendakwa bahawa bak chang (rice dumplings) yang dijual di jeti keluarga, kawasan Georgetown dan Jalan Macalister mengandungi asid borik.

thstar

Sumber: The Star

Asid borik merupakan bahan antiseptik, pestisid dan fungisid yang lemah. Ia selalunya digunakan untuk kawalan serangga, sebagai bahan pengawet kayu dalam industri perabut, industri kaca dan juga digunakan dalam bidang perubatan. Peraturan-Peraturan Makanan 1985, di bawah Akta Makanan 1983, melarang penggunaan asid borik sebagai bahan pengawet dalam makanan.

KKM sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan ke atas penggunaan asid borik dalam makanan. Dalam tempoh antara tahun 2010 sehingga 2014, sebanyak 4,701 sampel pelbagai jenis makanan telah dianalisis dan didapati 90 (1.9%) daripada sampel makanan tersebut mengandungi asid borik seperti mi kuning dan bak chang. KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas makanan di pasaran tempatan bagi memastikan makanan adalah selamat.

Di bawah subseksyen 13(1), Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

        

31 MEI 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s