Kenyataan Akhbar KPK 14 Jun 2017 – Isu Penggunaan Benzoil Peroksida Dalam Tepung Gandum

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum video yang ditularkan melalui media sosial mengenai dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa penggunaan bahan peluntur benzoil peroksida dalam tepung gandum boleh menjejaskan kesihatan.

Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan benzoil peroksida sebagai kondisioner makanan di bawah aditif makanan di dalam tepung. Benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan oleh badan penilai antarabangsa iaitu Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA).

Justeru, Codex Alimentarius Commission (CAC) iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Joint FAO/WHO Food Standards Programme telah membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum. Di samping itu, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum juga dibenarkan di negara-negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat manakala Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ianya digunakan dalam semua makanan.

Hasil pemantauan KKM ke atas 202 sampel pelbagai tepung di pasaran dari tahun 2014 menunjukkan semua tepung tersebut mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

KKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kesihatan pengguna sekiranya terdapat bukti-bukti saintifik terkini daripada badan-badan antarabangsa seperti Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan dalam makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

KKM amat peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna dan sentiasa memantau isu-isu berhubung keselamatan makanan. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 Jun 2017

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s