Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum pemeriksaan dari Hong Kong mendapati tin luncheon diimport dari China didapati mengandungi sulfamethazine.
Sulfamethazine atau dikenali juga sebagai sulfadimidine adalah sejenis antibiotik yang digunakan di dalam penternakan haiwan. Selain itu ia juga digunakan untuk merawat jangkitan bakteria pada manusia. Menurut International Agency for Research on Cancer (IARC), sulfamethazine tidak diklasifikasi sebagai karsinogen kepada manusia. Badan penilai antarabangsa iaitu Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA) telah menetapkan Acceptable Daily Intake (ADI) 0-0.05 mg/kg body/weight.
Sulfamethazine dibenarkan penggunaannya di bawah Jadual Kelima Belas A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pada paras 100 µg/kg bagi lembu, ayam belanda, ayam dan babi.
Berdasarkan maklumat dari Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM), Malaysia telah mengimport sebanyak 292,936.21 kg lucheon meat dari China yang bernilai RM 3,639,127.5 dari 1 Januari 2015 sehingga 16 Jun 2017. Hasil pemantauan KKM ke atas luncheon meat tersebut yang diimport ke Malaysia sehingga kini mendapati sulfamethazine tidak dikesan. KKM akan meneruskan pemantauan ke atas luncheon meat bagi kandungan sulfamethazine.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
23 Jun 2017
Categories: Food Safety, Press