Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kejadian pelajar tahfiz yang telah meninggal dunia pada 26 April 2017 di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.
Proses bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian telah dilakukan pada jam 6 petang hari yang sama. Beberapa sampel tisu dan darah telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.
Susulan daripada kejadian tersebut juga, satu Jawatankuasa Khas Siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat kes ini. Jawatankuasa ini terdiri daripada Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit.
Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan didapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan oleh penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan.
Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis (Purpura Fulminans) dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.
Laporan bedah siasat dikemukakan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 Julai 2017
Categories: Communicable disease, Press