Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 22 Julai 2017 – Stok Vaksin Anti-Rabies di Sarawak Adalah Mencukupi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada beberapa keratan akhbar Malaymail Online bertarikh, 21 Julai 2017 bertajuk ‘Why no rabies vaccine?  Sarawak ask Putra Jaya amid outbreak’ dan akhbar Borneo Post Online bertajuk ‘Ministry of Health asked, why no ready vaccine’.

KKM dengan ini menafikan kenyataan dalam artikel tersebut mengenai ketiadaan vaksin anti-rabies di Sarawak dan ingin memaklumkan bahawa stok vaksin anti-rabies di Sarawak adalah mencukupi.

KKM sememangnya sentiasa memastikan semua negeri menyimpan stok minima vaksin rabies pada setiap masa sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya diperlukan. Di Sarawak, Hospital Umum Sarawak menyimpan stok vaksin tersebut sebagai persediaan kemungkinan berlakunya jangkitan rabies. Untuk makluman, Sarawak merupakan negeri yang bebas rabies sehingga kes pertama disahkan pada 30 Jun 2017.

Berdasarkan Interim Guideline for Prevention and Control of Human Rabies in Malaysia, kes gigitan anjing kategori 2 dan 3 perlulah diperiksa dan dibuat penilaian oleh Pakar Perubatan bagi menentukan samada kes gigitan anjing mempunyai indikasi untuk divaksinasi atau sebaliknya.

Sejak 1 April 2017, terdapat 624 kes gigitan yang telah dikesan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 401 kes mempunyai indikasi untuk diberi vaksinasi, di mana 395 (98.5%) daripada mereka telahpun diberi suntikan vaksinasi manakala 6 lagi kes akan datang untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam masa yang terdekat. Selain itu, terdapat 115 kes yang sememangnya tidak memenuhi kriteria indikasi untuk diberi vaksinasi, manakala baki 108 kes pula telah dikesan pada hari semalam dan sedang diselaraskan bagi pemeriksaan dan penilaian oleh pakar sebelum boleh diberi vaksinasi.

Setakat ini, jumlah vaksin yang diperolehi sejak 1 Julai 2017 sehingga 21 Julai 2017 adalah sebanyak 2,043 vial manakala sebanyak 4,517 vial akan diterima pada awal Ogos 2017 menjadikan jumlah keseluruhan adalah 6,560 vial. Bekalan stok sebanyak 6,560 ini adalah mencukupi untuk memberi rawatan kepada 1,640 kes gigitan anjing yang perlu divaksin (setiap kes adalah diberi 4 kali suntikan vaksin). Berdasarkan anggaran kes gigitan anjing sekarang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak masih mempunyai simpanan stok vaksin rabies yang mencukupi. Sekiranya diperlukan vaksin tambahan dalam tempoh segera, vaksin boleh dimobilisasikan dari stok vaksin di Negeri-negeri lain di Malaysia.

KKM juga ingin memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes baru dilaporkan. Status terkini wabak rabies adalah lima (5) kes di kalangan manusia yang telah disahkan positif rabies di Serian Sarawak di mana empat (4) kes telah meninggal dunia dan satu (1) kes sedang dirawat di wad Hospital Umum Sarawak (SGH). Kes ini diberi bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar. KKM bersama JKN Sarawak terus mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dalam menangani wabak rabies, dan pada masa yang sama memastikan stok vaksin sentiasa mencukupi.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

22 Julai 2017

Categories: Communicable disease, Press, vaccine

Tagged as: ,

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s