Kenyataan Akhbar KPK 5 Ogos 2017 – Kejadian Penyakit Pertussis (Batuk Kokol) di Negeri Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai dua (2) kes pertussis yang dilaporkan oleh media baru-baru ini. Kesemua kes tersebut adalah adik beradik dari satu keluarga, bukan warganegara Malaysia yang masing-masing berumur 2 tahun 7 bulan dan 11 bulan. Mereka tidak pernah mendapatkan imunisasi pertussis. Kedua mereka sedang dirawat di Hospital Keningau Sabah dan berada dalam keadaan stabil.  Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan di lapangan melalui pencarian kes di kawasan tempat tinggal kes dan pemberian imunisasi pertussis kepada kanak-kanak yang cicir imunisasi. Pendidikan kesihatan melalui ceramah, edaran risalah dan poster juga telah diberikan. Orang ramai tidak perlu merasa khuatir kerana kejadian di Sabah ini adalah terpencil.

Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria iaitu Bordetella pertussis. Kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk; dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak. Ia boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia.  Namun, bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

pertussis

Lazimnya mereka yang dijangkiti akan mengalami batuk berpanjangan dalam tempoh 1 hingga 2 minggu. Ia boleh berlarutan sehingga 2 bulan. Batuk yang teruk dan berpanjangan ini menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas. Keadaan ini boleh mengakibatkan sawan kerana bekalan oksigen ke otak berkurangan. Komplikasi teruk seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian boleh berlaku.

Pertussis boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi. Ia diberi kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Apabila seseorang kanak-kanak telah mendapat pelalian pertussis yang lengkap dijangkiti kuman ini, mereka hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi. Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95% pada setiap masa. Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity). Justeru, ibu bapa bertanggung jawab memastikan anak-anak mereka mendapat pelalian pertussis yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan. Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta.

Remaja dan orang dewasa yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin (menutup mulut) serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain. Mereka yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi kerana bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis. Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala pertussis.

KKM akan sentiasa memantau kejadian penyakit cegahan vaksin ini, termasuk pertussis. Seperti dimaklumkan, orang ramai tidak perlu merasa khuatir kerana kejadian di Sabah ini adalah terpencil. KKM bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan terus memantau kejadian ini serta meningkatkan aktiviti pencegahan dan kawalan bagi memastikan penularan tidak berlaku.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

5 Ogos 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s