Kenyataan Akhbar KPK 6 Ogos 2017 – Makluman Mengenai Kejadian Jangkitan Influenza Yang Sedang Melanda Hong Kong

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan media mengenai kejadian wabak jangkitan influenza yang kini sedang melanda negara Hong Kong. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization; WHO), kejadian berkenaan adalah berpunca dari virus influenza bermusim sediaada dan bukannya melibatkan virus influenza baru yang mungkin tercetus akibat proses mutasi.

Sebagaimana negara-negara beriklim sederhana yang lain, Hong Kong turut mempunyai jangkitan influenza yang ketara pada musim sejuk. Seterusnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi juga menyatakan situasi yang kini berlaku di Hong Kong adalah akibat limpahan kes jangkitan influenza yang sebelum ini berlaku dalam musim sejuk dan ianya berlarutan sehingga memasuki musim panas. Situasi serupa pernah berlaku di Hong Kong semasa musim sejuk pada tahun 2015. Begitu juga, pada ketika ini tiada sebarang sekatan perjalanan ke Hong Kong dikeluarkan oleh pihak WHO susulan kejadian tersebut.

KKM ingin memaklumkan bahawa kejadian berkaitan jangkitan pernafasan meliputi influenza di Malaysia sentiasa dipantau rapi bagi mengesan situasi kejadian luar biasa melalui sistem survelan influenza. Pemantauan tersebut meliputi kejadian Influenza Like-Illness (ILI) dan pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection (SARI). Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau jenis virus influenza di Malaysia. Berdasarkan pemantauan ini, KKM mendapati tiada trend luar biasa berkaitan influenza yang dikesan di seluruh Malaysia pada masa ini.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selsema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan. Demam selsema atau flu adalah sangat mudah berjangkit. Oleh itu, penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat-tempat yang padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem-kem tentera atau polis. Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain. Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.

Bagi mencegah jangkitan, orang ramai adalah disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

1. Sekiranya menghidap gejala seperti demam, batuk, dan sakit tekak, sila dapatkan rawatan di fasiliti Kesihatan berhampiran.
2. Anda disarankan berada di rumah sepanjang tempoh bergejala dan kurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara mara.
3. Sekiranya bergejala, elakkan ke tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, sekolah, tadika, tempat kerja atau menghadiri majlis keramaian.
4. Sekiranya masih diperlukan bekerja, mereka yang bergejala perlu memakai penutup hidung dan mulut (mask) sepanjang masa berada di tempat kerja.
5. Mengamalkan kebersihan diri yang baik seperti:
a. Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala, atau sapu tangan apabila batuk dan bersin. Tisu yang telah digunakan perlu dibuang ke dalam tong sampah.
b. Kerap membasuh tangan dengan air dan sabun terutamanya selepas batuk atau bersin, selepas menyentuh hidung, mulut atau mata. Sekiranya tiada air dan sabun, cecair hand sanitizer juga boleh digunakan.
c. Elakkan berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan lain-lain.
d. Pastikan pengudaraan dan pencahayaan yang baik di dalam rumah.
e. Permukaan objek seperti lantai dan meja yang tercemar dengan cecair hidung dan mulut juga perlu dibersihkan.

6. Mereka yang berisiko tinggi dan mereka yang ingin melawat ke negara-negara yang sedang mengalami wabak influenza, adalah digalakkan mengambil suntikan vaksin Influenza bermusim yang boleh diperolehi di fasiliti kesihatan swasta.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

6 Ogos 2017

Tarikh: 6 Ogos 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s