Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sehingga 5 Ogos 2017 iaitu minggu epid 31 tahun 2017, sebanyak 18 kes disahkan difteria telah dilaporkan. Daripada jumlah ini, sebanyak tiga (3) kes telah meninggal dunia walaupun setelah diberikan rawatan anti-toksin. Namun begitu jumlah ini lebih rendah berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2016, iaitu 23 kes dengan lima (5) kematian. Kes difteria di kalangan bukan warga negara adalah tiga (3) termasuk dua (2) kematian pada tahun 2016; berbanding hanya satu (1) kes kematian yang dilaporkan pada tahun 2017.
Satu (1) kes kematian bukan warga negara pada tahun 2017 tersebut, telah dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah adalah melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun. Kanak-kanak ini tidak mendapat imunisasi difteria yang lengkap mengikut umurnya. Beliau mula mengalami demam, batuk, sakit tekak dan muntah sejak 18 Julai 2017. Kes telah mendapatkan rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan pada 21 Julai 2017 dan didapati terdapat selaput putih di tekaknya. Kes telah diberikan 10 vial anti-toksin difteria sebagai rawatan awal termasuk pemberian antibiotik tetapi meninggal dunia pada 26 Julai 2017. Ujian kultur kali kedua ke atas swab tekak kes ini didapati positif bakteria Corynebacterium diphtheria dan ujian PCR toxigenik. PKD Sandakan telah membuka bilik gerakan bagi memantau dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan.
Bakteria Corynebacterium diphtheria ini disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak (tonsil dan farink). Ia menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).
KKM ingin menegaskan bahawa imunisasi difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan bakteria ini. Sekiranya dijangkiti setelah mendapat pelalian lengkap, gejala yang dialami adalah ringan dan tiada komplikasi serius.
Justeru, ibu bapa dan masyarakat diseru untuk memastikan semua anak-anak telah diberikan imunisasi lengkap. Imunisasi difteria terkandung dalam vaksin lima (5) serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenza Type B) yang diberikan kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan. Dos tambahan selanjutnya diberi pada umur mereka tujuh (7) tahun semasa mereka di sekolah. Imunisasi vaksin lima (5) serangkai ini boleh diperolehi di fasiliti kerajaan dan swasta. Ibu bapa juga disarankan untuk membawa anak mereka segera mendapatkan rawatan awal sekiranya tidak sihat.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
8 Ogos 2017
Categories: Communicable disease, Press, vaccine