Kenyataan Akhbar KPK – Situasi Terkini Kes Rabies di Sarawak pada 8 Ogos 2017

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan perkembangan terkini  bahawa terdapat satu (1) kes baru telah disahkan rabies dari Kampung Kuala, Bahagian Samarahan, Sarawak. Dengan pengesahan kes baru ini, jumlah kes rabies di Sarawak sehingga 8 Ogos 2017 adalah sebanyak enam (6) kes.

Kes keenam iaitu kes baru yang dilaporkan tersebut adalah seorang kanak-kanak lelaki, berumur 7 tahun berasal dari Kampung Kuala, Gedong, Bahagian Samarahan dan mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun 2017. Beliau telah menerima tiga dos suntikan vaksin anti-rabies di Hospital Serian pada 21 Julai 2017, 24 Julai 2017 dan 28 Julai 2017 dan dos keempat dijadualkan pada 4 Ogos 2017. Walau bagaimanapun pada 1 Ogos 2017, kanak-kanak ini mula mengalami demam, batuk dan muntah dan dimasukkan ke wad Hospital Serian. Keadaan beliau merosot dengan mengalami perubahan sikap dan halusinasi dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 3 Ogos 2017. Beliau kini menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak dan terpaksa diberi alatan sokongan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal. Ujian sampel yang dihantar pada 8 Ogos 2017 dan keputusan diperolehi pada hari yang sama menunjukkan positif terhadap virus rabies.

Sehingga 8 Ogos 2017, sebanyak 22 kawasan di dalam tiga (3) bahagian iaitu Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching telah diisytiharkan kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Sehubungan itu, aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing mengikut prosedur sediada telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian yang terlibat.

19554799_10154506171336237_2198791464869426564_n

KKM menasihati orang awam yang tinggal di Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Kuching, Sarawak agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing atau kucing peliharaan telah mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama haiwan atau anjing liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain di negeri berkaitan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan penyakit rabies dan langkah-langkah pencegahannya bolehlah menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di talian hotline iaitu 082-443248 pada setiap hari Isnin hingga Ahad, jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel melalui cprc_sarawak@moh.gov.my.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

8 Ogos 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s