Pada 13 September 2017, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima makluman mesej tular mengenai banyak kejadian kes mumps (beguk) di sekolah-sekolah sekitar Putrajaya.
Pihak KKM ingin memaklumkan bahawa, hanya terdapat satu (1) kejadian kluster mumps (beguk) di kalangan pelajar Sekolah Kebangsaan 11(2) Presint 11, Wilayah Persekutuan Putrajaya yang telah dilaporkan pada 25 Julai 2017. Kejadian tersebut melibatkan 11 pelajar (0.8%) daripada sejumlah 1,401 orang pelajar dan kakitangan sekolah. Semua kes adalah stabil dan telah mendapat rawatan pesakit luar.
Penyakit mumps (beguk) disebabkan oleh jangkitan virus Paramyxovirus. Pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak kelenjar parotid (kelenjar air liur) serta sakit. Ia boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar. Pesakit biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas dua (2) hingga tiga (3) minggu. Komplikasi jangkitan pada kelenjar testis, telinga, otak, kelenjar ovari dan buah dada adalah sangat jarang berlaku.
Di Malaysia imunisasi mumps diberikan dalam bentuk vaksin tiga (3) serangkai Measles-Mumps-Rubella (MMR) sejak tahun 2002. Ia diberikan dua kali dan Jadual vaksinasi yang terkini iaitu bermula dari April 2016 Dos 1 diberi pada usia sembilan (9) bulan dan Dos 2 pada usia satu (1) tahun. Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti virus ini.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai maklumat-maklumat tular yang tidak disahkan oleh KKM. Sekiranya mengalami gejala dan tanda-tanda sila dapatkan rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi di mana-mana fasiliti kesihatan. Jangkitan mumps biasanya adalah ringan dan boleh sembuh sepenuhnya tanpa komplikasi. Adalah mustahak untuk sentiasa memastikan kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan etika batuk yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit ini.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
15 September 2017
Categories: Communicable disease, Press