Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Import of instant hotpot products containing meat not approved by AVA; importers fined and products seized” yang disiarkan melalui akhbar the Straits Times bertarikh 9 Oktober 2017. Laporan akhbar tersebut menyatakan bahawa the Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) Singapura melarang pengimportan produk Instant Hotpot yang mengandungi daging yang juga dikenali sebagai Ba Shu Hotpot atau Ba Shu Lan Ren. Ini kerana pihak AVA Singapura hanya membenarkan pengimportan produk makanan yang mengandungi daging daripada sumber yang diluluskan olehnya.
Berdasarkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia – FoSIM), tiada pengimportan bagi produk daripada syarikat terlibat ke negara ini.
Semua makanan yang diperbuat atau diimport ke negara ini perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
14 OKTOBER 2017
Categories: Food Safety, Press