Kenyataan Akhbar KPK 25 Oktober 2017 – Pemprosesan dan Penggunaan Semula Peranti Perubatan Kegunaan Tunggal

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan akhbar atas talian Free Malaysia Today yang bertajuk “Mesin rosak, guna semula alat, ubat tiruan di hospital awam” dan “Pengarah: Alat perubatan pakai-buang selamat diguna semula”. KKM memandang serius dakwaan ini yang kemungkinan telah disiarkan dengan niat untuk mensensasikan perkara ini atas sebab-sebab tertentu. Didapati laporan ini telah memetik sumber yang tidak dinamakan, dan melaporkan seolah-olah KKM tidak mempedulikan aspek keselamatan pesakit. KKM ingin menafikan sekerasnya dakwaan ini dan ingin menyatakan bahawa KKM sentiasa mementingkan aspek keselamatan pesakit dan standard perkhidmatan jagaan kesihatan.

Adalah dimaklumkan bahawa kesemua consumables (barang guna habis) dan peranti perubatan kegunaan tunggal (single-use medical device) yang digunakan bagi pesakit dengan Penyakit Bawaan Darah sememangnya dibuang setelah selesai digunakan, mengikut tatacara yang ditetapkan. KKM telah menerbitkan garis panduan berkaitan dengan perkara ini (Polisi dan Prosedur Kawalan Jangkitan), dan ianya perlu digunapakai oleh pengamal kesihatan dalam amalan klinikal mereka. Begitu juga, kebanyakan besar consumables dan peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan bagi lain-lain kategori pesakit adalah dibuang selepas selesai digunakan, mengikut tatacara yang ditetapkan.

Namun begitu, terdapat beberapa peranti perubatan kegunaan tunggal yang digunakan lebih daripada sekali, di mana peranti ini perlulah diproses semula melalui kaedah pembersihan dan pensterilan sebelum ianya boleh digunakan semula untuk beberapa kali. Amalan ini telah lama dipraktikkan di Malaysia dan ianya tiada kaitan dengan aspek kewangan dan peruntukan bajet. Malahan, amalan pemprosesan semula ini adalah juga menjadi satu kebiasaan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia dan di negara-negara maju misalnya Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Negara OECD.

US FDA sendiri pada tahun 2005 telah menyenaraikan 229 peranti perubatan kegunaan tunggal yang lazimnya diproses semula atau boleh dipertimbangkan untuk pemprosesan semula. Pihak Berkuasa Peranti Perubatan telah menjalankan satu tinjauan bagi mengkaji amalan ini di Hospital-hospital Kerajaan dan swasta. Hasil dapatan kajian ini mendapati antara lain, 37 peratus daripada 40 hospital swasta di Malaysia yang ditinjau turut melaksanakan penggunaan semula atau pemprosesan peranti perubatan kegunaan tunggal, iaitu sama seperti diamalkan di hospital-hospital KKM. Perkara utama yang harus dititikberatkan dalam amalan ini adalah aspek kawalan jangkitan dan keselamatan pesakit, di mana perkara ini tidak boleh dikompromikan.

KKM sememangnya menekankan budaya dan amalan yang mengutamakan keselamatan pesakit bagi mengelakkan bahaya kepada pesakit. Pola atau trend Jangkitan Berkaitan Jagaan Kesihatan (Healthcare Associated Infection – HCAI) di fasiliti kesihatan KKM juga telah bertambah baik. Misalnya jumlah prevalen HCAI bagi fasiliti kesihatan KKM adalah 1.65 peratus bagi Oktober 2016, berbanding 3.3 peratus pada Mac 2009. Ini adalah lebih baik berbanding HCAI 4 peratus yang dilaporkan dalam kajian pada tahun 2009 oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC) di Amerika Syarikat. Begitu juga dengan Jangkitan Saluran Darah berkaitan Jagaan Kesihatan (Healthcare Associated Blood Stream Infection) di fasiliti kesihatan KKM di mana peratusan ini telah menurun kepada serendah 0.22 peratus, berbanding 9.9 peratus seperti yang dilaporkan dalam kajian CDC yang sama. Pencapaian positif ini adalah hasil tindakan proaktif dan komprehensif bagi pencegahan jangkitan dan program keselamatan pesakit di fasiliti KKM.

Penguatkuasaan Akta Peranti Perubatan 2012 [Akta 737] juga merupakan perkembangan yang sangat penting dalam mengawal selia peranti perubatan di negara ini yang kini jauh lebih teratur dan terkawal. Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) adalah dalam proses menghasilkan garis panduan yang menyeluruh serta polisi berkaitan pemprosesan semula peranti perubatan kegunaan tunggal. Ini dilaksanakan dengan mendapatkan pandangan serta input pakar dan melihat kepada amalan terbaik (best practices) yang diamalkan di Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan negara-negara Eropah. Proses yang berterusan ini adalah diterajui oleh MDA dan mengambil kira pelbagai aspek dengan keutamaan atau fokus kepada keselamatan pesakit.

Sekali lagi KKM ingin menegaskan komitmen dalam pemberian jagaan kesihatan yang berkualiti tinggi pada kadar mampu milik kepada Rakyat dan boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat. KKM tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan pesakit dan ianya akan kekal sebagai teras bagi semua perkhidmatan kesihatan KKM. KKM juga menyeru pihak Free Malaysia Today untuk lebih bertanggungjawab dalam laporan mereka, iaitu sejajar dengan profesionalisma dan etika kewartawanan.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

25 Oktober 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s