Kenyataan Akhbar KPK 6 November 2017 – Kesan Advers Serius Setelah Pengambilan Produk ‘Wan Ling Ren Sem Chin Kuo’ dan ‘Chong Cao Dan’

Screen Shot 2017-11-06 at 10.59.45 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menarik perhatian orang ramai berkaitan dua produk tradisional Cina iaitu Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill dan Chong Cao Dan yang dipromosi mengandungi bahan herba yang boleh membantu melegakan sakit dan rasa kebas anggota badan serta melancarkan peredaran darah. Artikel The Star bertajuk “Singapore Warns Against Use Of Two Malaysian Health Products” yang bertarikh 2 November 2017 telah merujuk kepada dua produk kesihatan tersebut yang telah dikesan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Singapura mengandungi bahan aktif yang tidak diisytiharkan iaitu Dexamethasone, Furosemide dan Chlorpheniramine.

Di Malaysia, pada masa ini produk-produk tersebut adalah tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Walaubagaimanapun, produk Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill pernah berdaftar tetapi ditarik balik pendaftarannya pada bulan Januari 2017 kerana didapati mengandungi Dexamethasone. Sepanjang tahun 2017 Bahagian Penguatkuasa Farmasi KKM telah membuat serbuan ke atas 2 premis kedai ubat tradisional Cina dan sebanyak 26 kotak produk Wan Ling Ren Sem Chin Kuo Pill telah dirampas.

Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Oleh kerana produk tersebut tidak berdaftar, kualiti dan keselamatan berkaitan penggunaan produk-produk ini tidak dapat dipastikan. Pengguna produk-produk ini dinasihatkan untuk tidak memberhentikan pengambilan produk ini secara mendadak dan segera untuk berjumpa dengan doktor. Orang awam adalah digesa untuk tidak membeli produk-produk ini dan digalakkan untuk mengemukakan aduan serta menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan kepada pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk tidak berdaftar.

Sebarang aduan dan maklumat berkaitan penjualan produk ini di pasaran boleh disalurkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau di talian 03-78413200 dan juga di mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi di setiap negeri.

Orang awam juga diminta untuk sentiasa memastikan produk yang diguna adalah berdaftar di mana ia mempunyai pelekat keselamatan hologram dan dilabel dengan nombor pendaftaran yang sah. Semakan status pendaftaran sesuatu produk pula boleh dibuat melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 November 2017

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s