Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Kempen Minggu Kesedaran Antibiotik Sedunia Peringkat Kebangsaan di Hospital Serdang pada hari ini. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat dan para profesional kesihatan supaya menggunakan antibiotik secara rasional dan bertanggungjawab bagi mengawal kerintangan antibiotik.
Kerintangan antibiotik menyebabkan antibiotik yang biasa digunakan tidak lagi berkesan. Kos penjagaan kesihatan akan meningkat kerana jangkitan menjadi teruk serta memerlukan rawatan yang intensif dan tempoh rawatan yang lama. Risiko kematian dan penyebaran jangkitan kepada orang lain turut meningkat. Penggunaan antibiotik yang tidak wajar dan berleluasa menyumbang kepada kerintangan antibiotik. Antibiotik adalah sejenis ubat dikawal di bawah akta sedia ada yang mana ia hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan dan veterinar berdaftar serta ahli farmasi berlesen, dengan preskripsi yang sah. Penjualan antibiotik secara atas talian adalah dilarang di bawah Akta yang sama.
Penguatkuasaan oleh KKM terhadap penjualan ubat seperti antibiotik dijalankan secara berterusan termasuk rampasan antibiotik bagi kes pelanggaran di bawah Akta Racun 1952. Penggunaan antibiotik juga sentiasa dipantau melalui aktiviti survelan penggunaan antibiotik yang dijalankan sepanjang tahun di hospital KKM, Hospital Angkatan Tentera, hospital universiti, hospital swasta dan klinik kesihatan.
Antibiotik merupakan sumber yang berharga dan perlu digunakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia kekal berkesan untuk seberapa lama yang boleh. Maka adalah penting untuk masyarakat awam mendapatkan nasihat yang tepat sebelum mengambilnya bagi memastikan anda dan keluarga anda mendapat rawatan yang terbaik. Masyarakat juga digesa untuk turut memainkan peranan dalam memerangi kerintangan antibiotik dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan seperti mengambil vaksin mengikut jadual serta menjaga kebersihan diri dan makanan supaya pengambilan antibiotik dapat dielakkan.
Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak mendesak doktor untuk memberikan antibiotik bagi semua jenis jangkitan, kerana kebanyakan jangkitan seperti batuk dan selsema adalah disebabkan oleh virus sedangkan antibiotik tidak mempunyai kesan terhadap virus. Selain itu, sekiranya pesakit sememangnya memerlukan rawatan antibiotik, mereka mesti mematuhi nasihat ahli profesional kesihatan tentang cara pengambilan antibiotik yang betul termasuk dos dan tempoh rawatan yang diperlukan serta tidak berkongsi antibiotik dengan orang lain.
Penggunaan antibiotik dengan betul oleh semua pihak adalah amat penting demi memelihara kesihatan kita bersama dan generasi yang akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai perkara ini, sila hubungi Dr. Suraya Amir Husin (drsurayaamir@moh.gov.my) 03-88831190.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
15 November 2017
Categories: Communicable disease, Patient Safety, Pharmacy, Press