Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 23 Januari 2018 – Penamatan Wabak Jangkitan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) di Malaysia’s

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada satu (1) kes yang telah disahkan jangkitan MERS-CoV pada 31 Disember 2017 dan dilaporkan di akhbar pada 1 Januari 2018, melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun dari Selangor, yang baru pulang dari mengerjakan umrah. Susulan pengesanan tersebut, pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan telah dijalankan di pelbagai peringkat KKM bagi mencegah berlaku penularan jangkitan. Berdasarkan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan, TIADA kes baru jangkitan MERS-CoV dikesan dari seluruh negara menjadikan bagi kejadian wabak ini, kes kekal sebanyak satu (1) sahaja. Begitu juga, tiada kejadian kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan kalangan kontak rapat, susulan dari pengesanan kes tersebut.

Secara kumulatif, seramai 75 kontak telah berjaya dikesan, melibatkan ahli keluarga serumah, saudara mara, sahabat handai, ahli kumpulan dari pakej umrah yang disertai oleh kes, anggota kesihatan yang mengendalikan kes di klinik swasta dan Hospital Kerajaan serta penumpang yang duduk berhampiran dengannya bagi perjalanan pulang ke Malaysia pada 23 Disember 2017. Dari jumlah tersebut, seramai 59 orang kontak rapat telah diletakkan di bawah pengawasan di rumah selama 14 hari bermula dari hari terakhir kontak bertemu dengan kes. Kesemua sampel yang diambil di kalangan kontak rapat kes telah diuji dan dilaporkan negatif jangkitan MERS-CoV.

Pemantauan tempoh jangkitan ini telah dijalankan selama dua (2) tempoh inkubasi penyakit ini; iaitu selama 28 hari dari hari pertama kes menunjukkan gejala (24 Disember 2017). Oleh itu tempoh pemantauan wabak telah berakhir pada 20 Januari 2018. Tiada kes baru dilaporkan sepanjang tempoh tersebut. Sepertimana pemantauan kes MERS-CoV Malaysia yang pertama pada tahun 2014 dahulu, pemantauan kes MERS-CoV kali kedua ini juga menunjukkan bahawa penyakit ini telah tidak merebak kepada mana-mana individu lain. Dengan ini KKM ingin memaklumkan bahawa wabak jangkitan MERS-CoV yang dilaporkan pada 1 Januari 2018 adalah diisytiharkan tamat.

Mengambilkira pelawat mahupun jemaah umrah boleh dijalankan sepanjang tahun dan ibadah haji setahun sekali, Malaysia adalah berisiko bagi mendapat jangkitan penyakit MERS-CoV. Sehubungan itu, langkah-langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi jangkitan penyakit MERS-CoV perlu dijalankan secara berterusan. Kerjasama pihak agensi pelancongan khususnya yang menguruskan jemaah umrah dan haji dipohon agar dapat memperkukuhkan kesedaran mengenai kejadian jangkitan MERS-CoV melalui hebahan maklumat secara berterusan kepada para jemaah umrah dan haji yang diuruskan, terutamanya semasa berada di tanah suci. Bagi tujuan ini, agensi terbabit dipohon untuk merujuk kepada pekeliling terkini pihak Kementerian Pelancongan Malaysia; Pekeliling Pesuruhjaya Pelancongan Bil. 1/2018 – Larangan Menganjurkan Lawatan ke Ladang Ternakan Bagi mencegah Jangkitan Penyakit “Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus” (MERS-CoV) dan nasihat kesihatan berkaitan MERS-CoV.

26195661_10154978127596237_4283420552665034147_n

Masih belum wujud vaksin khusus untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan penyakit MERS-CoV dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini. Namun begitu, gejala utama yang dikesan dalam kalangan kes MERS-CoV merupakan jangkitan pernafasan yang berlaku secara akut dan serius, iaitu demam dan kesukaran untuk bernafas. Justeru, para jemaah adalah amat digalakkan untuk mengambil vaksin influenza bermusim dan pneumococcal bagi membantu merangsang imuniti, khususnya melibatkan sistem pernafasan mereka.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Maklumat terkini berkaitan jangkitan MERS-CoV boleh diperolehi dari laman sesawang http://www.moh.gov.my dan juga melalui Facebook CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness Response Centre).

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

23 Januari 2018

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s