Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai aduan pengguna yang membeli pek-promosi susu tepung rumusan untuk kanak-kanak jenama Dutch Lady Curious (900g) 1-2 Tahun Biasa yang tular di media sosial. Pengadu memaklumkan bahawa anak beliau mengalami simptom ruam merah di bahagian leher dan kelangkang, batuk, cirit-birit dan demam panas setelah mengambil produk susu tepung berkenaan.
Berhubung perkara ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan keselamatan produk susu tepung rumusan untuk kanak-kanak terbabit.
KKM ingin menegaskan susu tepung rumusan untuk kanak-kanak untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 91B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
13 Februari 2018
Categories: Food Safety, Press
You must be logged in to post a comment.